AGM

08-JUL-2021

Mi Technovation Bakal Memasuki Pasaran Bahan Semikonduktor


FN    


Sejak tersenarai pada 2018 lagi, Mi Technovation ketika ini menjalani pelan 10 tahun untuk mencapai matlamat mereka supaya dapat menjadi bisnes yang mampan dalam jangka panjang. Penggal pertama adalah dari 2019 hingga 2023. Yang kedua adalah dari 2024 hingga 2028. Dalam 10 tahun ini, pelbagai perkara perlu dibangunkan seperti fasiliti, produk, dan bisnes di serata dunia, terutamanya di Taiwan, China dan Korea.

Mi apa? Mi Technovation

Pertama sekali, kita boleh fahamkan aktiviti perniagaan Mi dengan memahami bahawa komponen semikonduktor kini menjadi semakin kecil. Satu teknologi yang ada di sebalik pengecilan komponen ini ialah WLCSP, iaitu Wafer Level Chip Scale Package.

semiconductor size comparison
WLCSP bersaiz lebih kecil dari teknologi lebih lama. Gambar: EETimes

Dengan teknologi ini, sesebuah cip semikonduktor akan melalui proses packaging semasa masih berada di atas wafer. Bahan substrate akan diletakkan di atas wafer, mencipta perumah untuk packaging, dan kemudiannya cip akan dipotong mengikut saiz. Oleh itu, ia menghasilkan chip scale package, iaitu packaging semikonduktor bersaiz cip pada wafer level iaitu ketika masih di atas wafer.

Peralatan Semikonduktor WLCSP

Rantaian nilai semikonduktor boleh dibahagi kepada 2, iaitu front-end, fasa pembuatan cip di atas wafer, dan back-end, fasa chip packaging. Mi terlibat dalam back-end untuk bekalan peralatan semikonduktor untuk packaging.

mi technovation supply chain positioning

Peralatan yang dimaksudkan secara khususnya adalah mesin penyusun dan pemeriksaan WLCSP, mesin yang menyusun dan juga yang dilengkapi dengan teknologi pemeriksaan potongan cip yang berautomasi. Mereka mengkaji trend teknologi global, membuat rekabentuk peralatan, jualan dan seterusnya pengeluaran. Sebahagian kerja pengeluaran juga diberikan kepada subcon tempatan.

Arah tuju bisnes

Dalam industri semikonduktor, ada pelbagai cara yang boleh digunakan untuk proses packaging untuk komponen semikonduktor. Antaranya, Wire Bonding, leadframe, heterogenous integrated packaging dan sebagainya. WLCSP adalah salah satu kaedah packaging yang juga termasuk dalam kategori advanced packaging, dan ia merupakan teknologi yang mula diperkenalkan menjelang tahun 2010.

Dalam industri semikonduktor, mereka menumpukan pada packaging WLCSP dalam perkhidmatan umum. Maksudnya, mana-mana syarikat yang menggunakan teknologi WLCSP ini berkemungkinan akan mendapati peralatan Mi membantu dalam aktiviti perniagaan mereka. Selain penjualan peralatan, mereka juga ingin menawarkan bahan (material) dan kimia (chemical) untuk semikonduktor.

silicon carbide crystal
Silicon Carbide, antara bahan digunakan untuk membuat semikonduktor. Gambar: USGS

Bahan dan kimia ini juga banyak digunakan dalam proses pengeluaran semikonduktor, sama ada untuk pembuatan wafer atau untuk packaging. Menurut CEO, adakalanya syarikat yang menawarkan produk ini juga kehabisan stok. Maka, strategi yang mereka lihat adalah untuk memasukkan bahan dan kimia ini ke dalam barisan produk untuk menawarkan penyelesaian yang lebih menyeluruh.

Segmen produk

Dalam laporan tahunan 2020, Mi melaporkan dua segmen pendapatan, iaitu unit perniagaan peralatan semikonduktor (SEBU) dan automasi dan robotik (ARBU). Bahan semikonduktor (SMBU) merupakan segmen yang akan dimulakan tak lama lagi.

Segmen peralatan semikonduktor menyumbangkan sebahagian besar pendapatan syarikat. Dalam laporan suku tahunan, dikatakan segmen ini akan digabungkan dengan segmen ARBU menjelang pertengahan suku kedua 2021. Segmen ini nanti dijangka akan menyumbangkan sebanyak 70% kepada pendapatan keseluruhan untuk tahun penuh 2021 dengan kadar pertumbuhan dua angka (double digit growth).

Dalam barisan produk segmen peralatan, Mi menawarkan beberapa siri produk: Mi Series, Ai Series, Si Series, dan Vi Series. Setiap siri produk ini berfungsi seperti berikut:

Siri Produk Fungsi
Mi Series Penyusunan "die" dari wafer ke carrier tape (untuk pelbagai proses lanjut) dalam proses assembly dan packaging
Vi Series Sistem pemeriksaan semikonduktor dilengkapi dengan sistem laser
Ai Series Peralatan die bonding yang membolehkan "die" disatukan dengan packaging
Si Series Sistem pemeriksaan akhir dan berautomasi di bawah arus dan voltan tinggi

Bahan dan kimia semikonduktor merupakan segmen yang penting dalam rantaian nilai industri semikonduktor dengan permintaan yang stabil. Pasaran ini mencatatkan pendapatan global sebanyak USD 55.3 bilion pada 2020 dengan peningkatan 4.9% berbanding USD 52.9 bilion pada 2018. Mi meyakini bahawa produk ini akan menjadi pilihan yang tepat ke dalam barisan produk mereka dan dapat menambah baik pendapatan syarikat. Segmen ini pula dijangka menyumbang sebanyak 30% kepada pendapatan keseluruhan 2021, juga dengan kadar pertumbuhan dua angka.

Prestasi Kewangan

Syarikat mencatatkan pendapatan yang lebih besar pada tahun 2020 berbanding 2019 dengan anggaran 20% peningkatan. Namun, keuntungan berkurang sebanyak 9.2% berbanding tahun sebelumnya. Di sini, CEO mengingatkan semula bahawa mereka berada dalam fasa pengembangan perniagaan.

prestasi kewangan mi technovation 2020
Gambar: Mi, Laporan Tahunan 2020

Mereka ingin meluaskan tawaran perkhidmatan mereka di serata kawasan tumpuan seperti di Taiwan, China, Korea Selatan dan Malaysia. Pusat kejuruteraan pertama mereka di luar negara telah dibina di Taiwan pada tahun 2019, diikuti dengan Korea awal 2020. Penapakan di China pula dikatakan akan siap menjelang suku kedua 2021.

Dalam perkembangan terbaru, syarikat telah mengambilalih syarikat Accurus Scientific yang berpangkalan di Taiwan. Accurus mempunyai rangkaian di pelbagai negara Asia, dengan pasaran utama di Taiwan dan China. Pengambilalihan ini membolehkan Mi untuk menawarkan produk bahan semikonduktor kepada pelanggan mereka. Khususnya, Accurus mempunyai teknologi pengeluaran solder sphere yang digunakan untuk die bonding.

Pelbagai perkembangan yang diperlukan untuk memberikan pendapatan yang mampan, dan ianya memerlukan belanja yang banyak. Namun, pihak pengurusan juga berusaha untuk tidak mengorbankan keuntungan syarikat untuk menjaga kepentingan pelabur. Oleh itu, mereka menyatakan hasrat untuk mengekalkan kedudukan kewangan dalam keadaan baik dalam fasa pengembangan perniagaan ini.

Kesimpulan

Mi telah membuktikan kebolehan mereka sebagai pengeluar peralatan semikonduktor yang bagus. Ini dapat dibuktikan dengan pelanggan mereka yang terdiri daripada syarikat OSAT seperti Inari, Unisem, dan juga pelbagai syarikat IDM. Strategi mereka untuk menawarkan bekalan bahan dan kimia semikonduktor dilihat sebagai hala tuju yang baik kerana dapat memberikan sinergi dalam bidang kepakaran mereka. Mereka juga menyatakan keyakinan dalam strategi yang bakal dijalankan.

Namun, kita masih perlu lihat sama ada strategi ini dapat menunjukkan kejayaan. Produk bahan dan kimia semikonduktor ini mungkin memerlukan pegangan stok barangan jualan dalam jumlah tertentu. Tiada jaminan juga sekiranya syarikat boleh menjana keuntungan yang besar dari segmen yang akan dijalankan ini. Pun begitu, syarikat telah menyatakan bahawa pendapatan dari segmen ini akan bersifat stabil dan menaikkan tahap pendapatan.

Penafian: Artikel ini bertujuan untuk menyampaikan maklumat yang team iSaham pelajari tentang syarikat ini. Sebarang penilaian positif atau negatif haruslah dipertimbangkan oleh pelabur sendiri untuk membuat keputusan pelaburan.


< kembali ke laman blog utama