UMUM

30-JUL-2021

Pelaburan Emas, Pergerakan Harga dan ETF Emas


FN    


Sejak sekian lama, emas dilihat sebagai sejenis logam yang berharga. Ia telah digunakan sebagai matawang sejak ketamadunan Mesir Purba sekitar 500 SM lagi. Emas juga digunakan untuk menaikkan nilai estetik pada apa-apa benda, antaranya bangunan, hiasan bangunan, makanan, dan sudah tentunya barang kemas.

Dari aspek sifat kimia pula, emas adalah logam yang stabil, tidak karat, tidak terhakis, tidak bertoksik dan mudah dibentuk berbanding logam lain di muka bumi. Dari segi industri pula, ia adalah pengalir arus elektrik yang bagus. Faktor utama mungkin dari segi estetik, namun kesemua ini menjadikan emas sebuah logam berharga di mata ramai.

Pelaburan emas

Apabila berbincang tentang pelaburan emas, sebab utama yang kita biasa dengar adalah keupayaan emas untuk mengekalkan nilainya berbanding matawang kertas, iaitu kalis inflasi.

Sekiranya kita bandingkan apa yang RM 100 boleh beli pada hari ini, ia mungkin adalah lebih banyak jika dibandingkan dengan beberapa tahun akan datang. Manakala untuk emas pula, 1 gram emas beberapa tahun akan datang mungkin boleh belikan kita lebih banyak barangan berbanding hari ini. Secara umumnya, emas lebih banyak dilaburkan untuk jangka masa panjang berbanding didagangkan jangka pendek.

Jenis pelaburan emas

Ada pelbagai cara kita boleh beli emas dan setiap cara ini mempunyai sifatnya masing-masing.

Emas fizikal

Cara ini mungkin merupakan kaedah paling popular. Antara sebab untuk ingin memiliki secara fizikal adalah untuk mengagumi kecantikan emas dan menyentuh emas dengan tangan sendiri. Kebiasaannya, pembelian emas dibuat melalui bank, agen, kedai dan sebagainya pada suatu harga yang ditetapkan. Apabila kita terima emas tersebut, maka satu lagi perkara yang perlu difikirkan ialah tempat untuk disimpan.

safe box with lock

Sekiranya kita memegang jumlah yang kecil, pembungkusan emas itu mungkin cukup kecil untuk disimpan dalam beg duit, atau disimpan begitu sahaja di rumah. Namun, untuk pelaburan yang berskala lebih besar, kita mungkin akan perlukan sebuah tempat yang khusus untuk simpanan, contohnya peti simpanan keselamatan. Ini adalah untuk menempatkan emas itu sendiri, mengelakkan kecurian dan melindungi emas secara fizikal dari apa-apa kerosakan.

ETF

Sebelum ini kami pernah membincangkan tentang GOLDETF yang diperkenalkan oleh TradePlus. GOLDETF adalah sebuah dana dagangan saham yang diuruskan oleh TradePlus untuk membawa sebuah instrumen pelaburan komoditi emas ke dalam pasaran.

Apabila anda membeli ETF ini melalui platform dagangan, maka samalah juga seperti membeli emas fizikal tadi. Bezanya cuma anda tak perlu fikirkan di mana nak simpan, kerana ia duduk di dalam akaun CDS anda selepas dibeli. Kelebihan GOLDETF ini juga ialah harganya yang rapat mencerminkan harga emas terkini, di mana satu lot GOLDETF bersamaan dengan satu gram emas dalam ringgit.

harga goldetf berbanding lbma emas
Pergerakan GOLDETF seiring dengan harga emas. Gambar: TradePlus

Disebabkan ETF boleh dibeli di pasaran Bursa, GOLDETF ini juga boleh dibeli pada bila-bila masa waktu pasaran Bursa. Jualan juga boleh dibuat di Bursa. Anda cuma perlu buka akaun CDS untuk dapatkan kemudahan ini.

Barang kemas

Sebahagian besar penggunaan emas dunia adalah pada barang kemas. Pembelian perhiasan barang kemas pula sudah tentu dapat memberikan kepuasan kepada peminat barang kemas. Memandangkan kita bercakap tentang emas, sudah tentu barang kemas ini juga boleh dijual semula atau dicagarkan untuk ditebus nilainya untuk sejumlah tunai.

Perniagaan emas

Selain itu, terdapat pilihan untuk membeli saham syarikat berkaitan perniagaan emas, sama ada yang menjalankan perlombongan, atau perniagaan runcit. Secara logiknya, keuntungan syarikat ini akan mempunyai hubungkait dengan pergerakan harga emas. Maka, ianya sebuah pilihan yang boleh dipertimbangkan.

99% dana GOLDETF disandarkan pada emas fizikal, saham syarikat tertakluk kepada pelbagai faktor. Gambar: TradePlus, iSaham

Namun, apa yang kita beli bukanlah emas, tapi sebahagian milikan dalam perniagaan yang tertakluk kepada prestasi, kecekapan, pertumbuhan, dan pelbagai lagi aspek syarikat. Oleh itu, ia tidak semestinya bergerak seiring dengan harga emas setiap masa.

Sifat emas sebagai aset

Emas merupakan sebuah aset selamat (safe haven) dan biasanya menjadi tumpuan apabila nilai matawang mengalami inflasi untuk melindungi nilai kekayaan. Namun, emas bukan satu-satunya instrumen yang seseorang itu boleh lihat untuk melindungi kekayaan mereka. Antara instrumen lain ialah matawang asing terutamanya USD.

goldetf berbanding pasaran bearish
Prestasi emas berbanding pasaran bearish. Gambar: TradePlus

Matawang dolar memainkan peranan tertentu dalam pergerakan harga emas. Bank pusat di serata dunia membuat transaksi jual beli emas menggunakan matawang USD, menjadikan matawang ini rujukan penting terhadap emas. Oleh itu, kelemahan USD menjadikan emas lebih menarik, dan begitu juga sebaliknya. Ianya berkait dengan persepsi instrumen mana yang lebih menguntungkan antara safe haven ini.

Dalam dunia moden pula, ada pelbagai keputusan politik dibuat oleh sesebuah negara yang boleh memberi kesan terhadap ekonomi. Sesetengahnya boleh menyebabkan ketidakstabilan politik yang boleh meruntuhkan nilai matawang. Dalam situasi sebegini, pegangan emas seakan-akan memberikan seseorang itu satu insurans untuk melalui keadaan yang tidak menentu ini.


< kembali ke laman blog utama