TEKNIKAL

09-DEC-2022

Pengenalan kepada Corak Carta


NM    


Dalam berdagang, kita semua mempunyai matlamat yang sama; iaitu untuk mengambil peluang dengan turun atau naik bagi harga sesuatu saham. Antara cara untuk mengenal pasti pergerakan saham adalah dengan mempelajari corak carta.

Maksud corak carta

Corak carta (chart pattern) adalah corak yang dihasilkan oleh pergerakan harga saham di atas carta. Menurut teori analisa teknikal, corak carta dapat memberikan isyarat penurunan atau kenaikan sesuatu saham di dalam trendline.

Terdapat pelbagai jenis corak carta yang boleh digunakan semasa berdagang. Artikel ini akan menerangkan lebih lanjut tentang corak carta dan jenis-jenis corak carta yang sering digunakan oleh para pelabur sewaktu melabur saham.

Trendline dalam analisa teknikal

Terdapat banyak corak carta yang boleh digunakan di dalam analisa teknikal.

Namun, sebelum mengenali corak carta, seseorang pelabur haruslah terlebih dahulu memahami trendline dan cara melukisnya di carta. Trendline adalah garis lurus yang dilukiskan dengan menghubungkan puncak menurun (tinggi) atau dasar menaik (rendah). Pergerakan trend dapat membantu pedagang untuk mengenal pasti kawasan sokongan (support) dan rintangan (resistance) pada sesuatu saham. 

Garis arah aliran (trendline)

Kumpulan utama corak carta

Terdapat dua jenis kumpulan utama corak carta yang sering digunakan, iaitu:

1. Corak carta sambungan

Corak carta sambungan (continuation pattern) adalah sebuah corak yang boleh membantu pelabur untuk mengenalpasti peluang sambungan sesuatu trend.

Corak ini menunjukkan sambungan selepas pembeli dan penjual berehat seketika sebelum mendapatkan momentum untuk bergerak ke arah yang sama mengikut trend.

Adalah amat sukar untuk mengetahui arah pergerakan trend sewaktu perbentukan corak harga. Oleh itu, pemerhatian penuh harus diberikan untuk melukis trendline bagi melihat sama ada harga akan bergerak naik ke atas atau ke bawah di dalam zon sambungan. Kebiasaannya, trend dianggap akan berterusan sehingga terdapat pengesahan untuk berubah arah.

Contoh-contoh corak carta sambungan:

i. Pennant

Panji (pennant) ialah corak carta sambungan yang dilukis dengan dua trendline yang akhirnya bercantum. Ciri utama pennant ialah trendline yang bergerak dalam dua arah; satu menurun dan satu lagi menaik.

Rajah di bawah menunjukkan contoh pennant pada carta saham. Kebiasaannya, volume akan berkurangan semasa pembentukan pennant, dan kemudian akan berlaku peningkatan apabila harga akhirnya breakout dari bentuk pennant tersebut.

Panji (Pennant)

ii. Triangle

Terdapat 3 jenis corak carta segitiga (triangle), iaitu menaik (ascending), menurun (descending) dan simetri (symmetrical).

Ascending triangle ialah corak dagangan menaik yang menandakan arah pergerakan trend yang memberi idea kawasan yang sesuai untuk masuk (entry), sasaran keuntungan (target price) dan kawasan untuk menghadkan kerugian (cut loss). Garis resistance bersilang dengan garis breakout, dan menunjukkan peluang untuk entry.

Segitiga menaik (ascending triangle)

Manakala descending triangle adalah bertentangan dengan ascending triangle, di mana ia menunjukkan bahawa permintaan semakin berkurangan dan trendline atas mula menurun menunjukkan perubahan trend mungkin berlaku.

Symmetrical triangle pula berlaku apabila dua trendline menumpu ke arah satu sama lain dan memberi isyarat bahawa breakout mungkin akan berlaku.

Segitiga simetri (symmetrical triangle)

iii. Cup and Handle

Cawan dan pemegang ialah corak sambungan yang menaik apabila trend menaik telah berhenti seketika dan kemudian diterusankan apabila corak itu disahkan. Bahagian "cawan" corak menyerupai pembulatan mangkuk. Bentuk "pemegang" di sebelah kanan cawan pula melakukan akan pullback pendek. Setelah pembentukan pemegang itu selesai, pergerakan harga saham mungkin akan bergerak naik ke atas.

Untuk bacaan penuh tentang corak carta cup and handle, anda boleh rujuk blog ini.

Cawan dan pemegang (cup and handle)

2. Corak carta pembalikan

Corak harga (price pattern) yang menandakan perubahan dalam trendline semasa dikenali sebagai corak pembalikan (reversal pattern). Corak pembalikan adalah lawan kepada corak sambungan. Corak ini digunakan untuk mencari peluang dalam perubahan trend dagangan. Ia memberi isyarat bahawa trend yang sedang berterusan sudah mula hilang momentum dan akan mengalami perubahan arah. Dalam erti kata lain, corak pembalikan bertujuan untuk mencari di mana trend berakhir.

Pembalikan yang berlaku di kawasan penawaran (supply) dikenali sebagai corak pengedaran (distribution pattern), di mana banyak saham dijual daripada dibeli. Sebaliknya, pembalikan yang berlaku di bahagian kawasan permintaan (demand) dikenali sebagai corak pengumpulan (accumulation pattern), di mana saham adalah lebih aktif dibeli daripada dijual.

Contoh-contoh corak carta pembalikan:

i. Head and shoulder

Kepala dan bahu (head and shoulder) ialah corak pembalikan yang boleh muncul di bahagian atas atau bawah carta.

Jika corak kepala dan bahu muncul sewaktu trend menaik, ada kemungkinan ia akan mengalami pembalikan, dan berubah menjadi trend menurun. Sebaliknya, trend menurun yang menghasilkan corak kepala dan bahu songsang pula berkemungkinan akan berubah arah menjadi trend menaik.

Boleh baca blog Berdagang dengan Corak Head & Shoulder untuk mengetahui lebih lanjut tentang corak ini.

Kepala dan bahu (head and shoulder)

ii. Double Tops/ Double Bottoms

Corak carta ini berlaku apabila harga bergerak melalukan pergerakan berganda, menandakan kawasan di mana terdapat dua percubaan yang tidak berjaya untuk menembusi tahap sokongan atau rintangan.

Double top selalunya kelihatan seperti huruf M manakala double bottom kelihatan seakan huruf W. Kedua-duanya akan melakukan pergerakan yang gagal melepasi tahap rintangan atau sokongan dan diikuti dengan percubaan gagal kali kedua, mengakibatkan pembalikan trend.

Puncak berganda (double top)

Beza corak carta dan corak candlestick

Selain corak carta, corak candlestick juga boleh digunakan oleh pelabur untuk berdagang. Boleh baca lebih lanjut tentang candlestick di blog Pengenalan kepada Carta Candlestick ini.

Perbezaan di antara corak candlestick dan corak carta adalah seperti berikut:

Perbezaan corak candlestick dan corak carta

Corak Candlestick Corak Carta
Muncul dalam jangka masa yang singkat. Trend ditunjukkan untuk jangka masa yang lebih panjang.
Arah pergerakan trend hanya muncul dalam jangka masa yang singkat. Perubahan trend boleh ditunjukkan oleh corak carta.
Sesuai untuk dagangan jangka pendek. Sesuai untuk dagangan jangka panjang.

Kesimpulan

Corak carta adalah antara salah satu teknik yang boleh digunakan untuk mengesan pergerakan harga semasa membuat analisa teknikal. Walau bagaimanapun, ia adalah sekadar untuk membantu pedagang mencari peluang, dan tidak semestinya boleh memberi isyarat yang tepat untuk melakukan pembelian atau penjualan.

Oleh itu, anda sentiasa perlu mempunyai pelan dagangan sendiri supaya risiko kerugian yang dihadapi berada di dalam keadaan yang terkawal.

Sekiranya anda berminat untuk belajar corak carta dengan lebih lanjut serta teknik-teknik analisa teknikal yang lain, anda boleh hadir ke seminar Technical Analysis Level 1 dan Technical Analysis Advanced yang akan diadakan di iSaham Putrajaya. Boleh rujuk butiran kelas di isaham.my/seminar.


< kembali ke laman blog utama