Sama ada kita bekerja atau tidak, ada banyak aktiviti di rumah yang sebenarnya boleh dikaitkan dengan saham. Minum air, ada syarikat di sebalik kordial minuman tu. Nak masak, kita ambil periuk kuali. Ada juga saham syarikat di sebalik periuk kuali tu. Dari pagi sampailah malam, di sebalik aktiviti yang kita buat tu ada macam-macam syarikat yang sebenarnya kita boleh kaitkan.
Perabot
Bangun pagi, tahu-tahu je kita bangun atas katil, walaupun mungkin semalam tertidur atas lantai. Dah bangun, bersiap-siap memakai baju dari almari. Lepas tu nak buat kerja kita kena ada meja. Nak makan pula ada meja makan. Nak tengok TV pula ada sofa dan kabinet TV. Macam-macam perabot yang boleh ada dalam rumah ni. Di Malaysia, ada banyak juga syarikat yang mengeluarkan perabot-perabot ini. Antaranya, Hevea, Lii Hen, Sern Kou, Poh Huat dan sebagainya.
Periuk
Ada hari kita pesan makanan dari kedai. Ada hari pula kita masak. Nak masak kenalah ada periuk kuali. Mungkin anda ingat tak ada saham berkaitan periuk yang tersenarai di Bursa tetapi, rupanya ada. Antara syarikat tersebut adalah Ni Hsin dan Cam Resources.
Perkakas rumah
Kita juga perlukan perkakas rumah untuk pelbagai fungsi dalam kehidupan seharian. Di dapur, kita perlukan peti ais untuk menyimpan makanan, rice cooker untuk memasak nasi, toaster untuk bakar roti, coffee maker untuk buat kopi dan sebagainya. Di ruang umum, ada yang perlukan penghawa dingin untuk sejukkan rumah. Tak lupa juga kepada kipas, seterika dan sebagainya sebagai kelengkapan bilik. Antara syarikat tersenarai yang mengeluarkan barangan ini ialah Khind, Milux, Pensonic dan Panasonic.
Gambar: Panasonic
Minuman pelbagai Jenis
Kita ni ada macam-macam selera. Kalau cuaca panas, tak cukup dengan minum air kosong Spritzer sahaja. Nak kena ada kordial F&N untuk buat air sarsi, sirap dan sebagainya. Ada juga yang suka minum Nescafe dari Nestle, dibancuh dengan susu Dutch Lady. Selain syarikat ini, ada lagi pengeluar lain yang mengeluarkan produk minuman segera seperti Power Root, PPB, Hup Seng dan sebagainya.
Internet rumah
Sekarang ni internet dah jadi satu keperluan bagi semua orang. Inilah juga yang mendorong kerajaan melancarkan MyDigital untuk merancakkan lagi capaian data ke seluruh negara. Berbalik pada situasi di rumah, internet bukan sahaja digunakan untuk bekerja, perbincangan video dan sebagainya. Ia juga digunakan untuk hiburan di waktu senggang, berhubung dengan keluarga yang jauh dan sebagainya.
Syarikat yang paling berkait dengan internet rumah ini adalah TM dan TimeCom. Mungkin boleh juga kalau nak masukkan TNB dalam senarai ni. Selain itu, syarikat telekomunikasi telefon juga semakin banyak menawarkan perkhidmatan ini. Sebagai contoh, Axiata, Maxis dan Digi juga menawarkan pelan internet rumah dengan kerjasama syarikat internet rumah yang disebut tadi (TM terutamanya).