Adakah menguntungkan untuk membuat pelaburan jangka panjang? Ramai orang mendapati pelaburan jangka panjang tidak menarik apabila mereka mendengar perkataan "jangka panjang" kerana ia bermaksud memperoleh pulangan yang lambat. Kebanyakannya lebih gemar untuk menjana keuntungan yang lebih cepat. Tetapi, pelaburan jangka panjang boleh membantu untuk mengembangkan simpanan anda untuk masa depan seperti persaraan, kecemasan, sekolah anak anda dan sebagainya.
Pelaburan jangka panjang bukan sekadar meletakkan wang anda dalam pasaran saham dan melupakannya. Terdapat beberapa perkara yang perlu pelabur fahami sebelum melabur untuk jangka masa panjang.
Rancang kewangan
Persediaan pertama sebelum melabur untuk jangka panjang adalah memastikan jumlah modal atau wang untuk dilaburkan. Pelabur mestilah menguruskan kewangan yang betul dan mempunyai simpanan kecemasan. Merancang kewangan terlebih dahulu adalah penting supaya pelabur boleh menikmati keuntungan dalam portfolio jangka panjang tanpa mengeluarkannya untuk sebarang situasi yang tidak dijangka.
Mengeluarkan wang daripada portfolio jangka panjang sebelum masa yang telah ditetapkan akan menjejaskan matlamat pelabur. Ia juga boleh menyebabkan pelabur menjual pada kerugian dan boleh mengakibatkan kos yang tinggi. Oleh itu, pelabur perlu memastikan kewangan yang teratur sebelum membuat pelaburan.
Ketahui matlamat pelaburan
Setiap orang mempunyai pelbagai matlamat pelaburan. Contoh seperti membayar down payment rumah, belanja sekolah dan kolej untuk anak, atau termasuk menyimpan untuk kegunaan ketika kecemasa.
Kunci kepada mana-mana pelaburan jangka panjang, tidak kira apa matlamatnya, adalah menentukan masa, atau berapa tahun sehingga wang itu diperlukan. Pelaburan jangka panjang biasanya mengambil masa dalam 5 hingga 10 tahun atau lebih. Memahami matlamat dan masa dapat membantu pelabur memilih pelaburan yang lebih selamat dan menetapkan risiko yang perlu ditanggung. Contohnya, individu yang memerlukan wang untuk persaraan dalam 12 tahun akan datang, memilih pelaburan yang betul dan simpan sehingga mereka perlu menggunakan wang tersebut.
Memilih pelaburan sesuai
Sebaik sahaja menetapkan matlamat pelaburan dan jangka masa, pelabur harus memilih pelaburan yang bersesuaian. Antara jenis instrumen pelaburan yang sedia ada adalah termasuk, saham, bon, kripto, forex, emas atau pelaburan mutual fund seperti tabung haji atau ASB. Kesemua jenis pelaburan ini ada tahap risiko yang tertentu. Mungkin pelabur boleh mempelbagaikan pelaburan mereka ke dalam pelbagai jenis instrumen pelaburan sebagai contoh, 70% di pasaran saham, 30% di pasaran bon atau yang paling agresif adalah 85% hingga 90% di saham.
Tetapi secara realistik, pilih apa yang sesuai dengan diri. Penting untuk memilih portfolio pelaburan yang sesuai, supaya pelabur boleh kekal dengan strateginya, tidak kira dalam apa jua keadaan.
Secara keseluruhan, pelaburan ini menumpukan pada matlamat kewangan pelabur. Pelaburan jangka panjang dapat mengabaikan turun naik jangka pendek pasaran dan sentimen semasa. Ini bermakna pelabur hanya perlu membeli dan hold untuk jangka panjang, tanpa mengira sebarang berita dan media yang membuat liputan.