FUNDAMENTAL

26-OCT-2021

PMETAL - Pengeluar Aluminium Terbesar di Asia Tenggara


FF    


Press Metal Berhad atau PMETAL adalah syarikat yang tersenarai di bawah sektor perindustrian. Syarikat ini terlibat dengan pembuatan dan penjualan produk aluminium dan ia juga adalah salah sebuah syarikat pengeluar terbesar aluminium bersepadu di Asia Tenggara. Dalam sektor aluminium, PMETAL adalah market leader dengan permodalan pasaran atau market capitalization sebanyak RM47.65 bilion.

Aktiviti perniagaan

Kegiatan perniagaan utama syarikat ini terdiri daripada pembuatan dan perdagangan produk aluminium primer, nilai tambah dan penyemperitan (extrusion) aluminium. Produk aluminium ini digunakan dalam pelbagai industri di seluruh dunia seperti automotif, teknologi, pembinaan dan yang berkaitan. Kalau perasan, hampir setiap hari kita dikelilingi oleh aluminium, contohnya di kereta, kapal terbang, telefon, komputer, peralatan pejabat, pembungkus makanan dan pelbagai lagi.

Proses Aluminium
Gambar: Aktiviti pembuatan aluminium

Pandangan lebih lanjut

Pembuatan aluminium adalah proses yang agak panjang, dimana ia terdiri kepada tiga segmen iaitu upstream, midstream dan downstream. Press Metal Berhad terlibat dengan ketiga-tiga operasi segmen ini.

Upstream segment

Dalam segmen ini, ia bermula dengan perlombongan bauksit dan kemudian diproses menghasilkan alumina. Alumina ini adalah bahan mentah untuk operasi peleburan. Selain alumina, karbon anod juga adalah bahan yang digunakan untuk operasi peleburan syarikat. Untuk mendapat bahan mentah ini, PMETAL memiliki kepentingan dengan pengeluar alumina di Indonesia dan Australia serta pelaburan dalam Shandong Sunstone & PMB Carbon Ltd., Co bagi pengeluaran karbon anod.

Midstream segment

Segmen midstream adalah dimana operasi peleburan aluminium primer dihasilkan. Ia proses menukarkan aluminium kepada feedstock. Feedstock adalah bahan mentah yang digunakan untuk proses produk lain. Segmen peleburan adalah aktiviti perniagaan utama Press Metal Berhad yang dijalankan di Sarawak. Mereka mengeluarkan produk aluminium termasuk jongkong aluminium Gred Tinggi (P1020) dengan bersijil London Metal Exchange (“LME”) dan nilai tambah seperti jongkong aloi A356.2, aluminium billet dan batang dawai (wired rod).

Peleburan aluminium
Gambar: Aktiviti peleburan aluminium

Downstream segment

Segmen downstream pula terlibat dengan operasi penyeperitan. Segmen ini menghasilkan pengeluaran produk aluminium semi-fabricated ('semis'). Produk penyemperitan aluminium PMETAL digunakan secara meluas dalam produk fabrikasi seperti tingkap, pintu, bingkai panel solar, almari pakaian, tangga dan lain-lain lagi.

Produk penyemperitan PMETAL
Gambar: Produk penyemperitan PMETAL

Pendapatan syarikat

Segmen peleburan dan penyeperitan menyumbang sebanyak 86% kepada pendapatan syarikat bersamaan RM6,442 juta. Walau bagaimanapun ia menunjukkan sedikit penurunan berbanding 2019. Perdagangan aluminium juga menurun sehingga RM670 juta berbanding RM695 juta pada 2019. Keseluruhan pendapatan PMETAL turun pada 2020. Ia disebabkan harga aluminium yang lebih rendah pada separuh pertama 2020 iaitu semasa kemuncak pandemik covid-19.

Pendapatan syarikat
Gambar: Pecahan pendapatan PMETAL

Kesimpulan

Press Metal Berhad adalah salah sebuah syarikat pembuatan dan perdagangan aluminium. Mereka terlibat dengan aktiviti dari peleburan hingga penyemperitan aluminium. Sebahagian besar pendapatan syarikat adalah daripada segmen tersebut. Semua produk utama mereka dipasarkan ke Malaysia, Asia Tenggara, Asia, Eropah dan Amerika. Ini mungkin kerana atas dasar kualiti aluminium yang dikeluarkannya. Produk utama mereka iaitu Jongkong aluminium P1020 diiktiraf di peringkat global dan berdaftar dengan London Metal Exchange di bawah gred Aluminium Primer Gred Tinggi di bawah jenama PMB dan PMS. Tambahan lagi, aluminium digunakan dalam pelbagai industri termasuk automotif, teknologi dan lain-lain, meletakkan syarikat ini dalam kedudukan penting untuk menghasilkan produk aluminium yang berkualiti tinggi.


< kembali ke laman blog utama