Tahun baru 2020 membuka tirai IPO dengan penyenaraian Powerwell dalam pasaran ACE. Saham ini boleh dibeli dengan harga RM 0.25 seunit.
- Permohonan dibuka:
- 2 Jan 2020, 10.00 pagi
- Permohonan ditutup:
- 10 Jan 2020, 5.00 petang
- Cabutan saham:
- 14 Jan 2020
- Agihan saham:
- 20 Jan 2020
- Tarikh penyenaraian:
- 22 Jan 2020
Pengeluar dan Penjual Switchgear dan Switchboard
Powerwell telah beroperasi sejak tahun 1991. Mereka menjalankan operasi dalam rekaan, pengeluaran dan perdagangan produk agihan tenaga elektrik (power distribution). Produk ini termasuklah LV (Low Voltage) switchboard, MV (Medium Voltage) switchgear dan produk-produk yang berkaitan. Powerwell adalah pemain global yang telah pun memasuki pasaran Bangladesh, Indonesia, Filipina, Pakistan dan Singapura.
Agihan tenaga elektrik merupakan komponen yang penting kepada sesebuah bangunan. Ini termasuklah kilang-kilang, bangunan komersial dan juga kawasan perumahan. Sebagai komponen yang memegang ciri keselamatan yang penting untuk aktiviti perindustrian, produk-produk ini haruslah menjalani saringan keselamatan yang ketat. Maka dari sinilah juga datangnya kos untuk mengembangkan perniagaan mereka yang memerlukan pensijilan produk dan permit operasi.
Produk yang ditawarkan oleh Powerwell terdiri daripada switchboard keluaran mereka sendiri, dan juga keluaran syarikat besar seperti Schneider dan Siemens. Powerwell diberikan kebenaran (authorized) untuk membuat produk barangan dua syarikat MNC ini di Malaysia. Ini menunjukkan Powerwell sebagai syarikat yang dipercayai untuk mengikut piawaian produk berteknologi tinggi.
Ringkasan Maklumat Bisnes
- Market capitalization: RM 145.14 juta
- PE ratio: 11.96 (FYE 2018)*
- Aktiviti: Pengeluaran dan jualan barangan pengedaran elektrik
- Operasi:
- Malaysia - Pejabat dan kilang
- Vietnam - Pejabat dan kilang
- Indonesia - Pejabat
- Status syariah: masih belum disahkan
* Sila rujuk bahagian kesimpulan untuk ulasan lanjut
Prestasi Bisnes
Powerwell menunjukkan prestasi kewangan yang kurang memberangsangkan. Pendapatan tertinggi yang pernah dicapai adalah pada tahun 2017 dengan nilai sebanyak RM 106.4 juta. Margin atas jualan pula adalah pada 26.4%, namun selepas pengiraan bayaran cukai, margin ini berada pada 13%. Dalam laporan terbaru, margin keuntungan selepas cukai dicatatkan pada 7.7%.
Perbandingan antara FPE 2018 dan 2019 menunjukkan pendapatan yang berkurang sebanyak 3.5% iaitu dari RM 46.1 juta kepada RM 44.5 juta. Pengurangan ini disebabkan oleh nilai projek yang lebih rendah, walaupun bilangan projek menunjukkan peningkatan.
Perkara bagus tentang syarikat ini adalah mereka berada pada kedudukan tunai yang kukuh. Hutang pula berada pada kadar yang rendah.
Analisis Pasaran untuk Powerwell
Pelanggan Powerwell kebanyakannya terdiri daripada kontraktor dan syarikat EPCC untuk projek pembinaan. Maka, permintaan barangan Powerwell akan berkait rapat dengan aktiviti pembinaan. Bagi tahun 2020, sektor pembinaan dijangka berkembang sebanyak 3.7% dengan kebangkitan semula projek-projek mega yang ditangguhkan sebelum ini.
Setakat ini, masih belum ada syarikat yang menjalankan aktiviti bisnes yang sama dengan Powerwell. Namun, antara pesaing yang disebut dalam prospektus adalah seperti di bawah. Syarikat-syarikat ini dilesenkan oleh Suruhanjaya Tenaga sebagai "Pengeluar Switchboard" dan mencatatkan pendapatan lebih daripada RM 30 juta.
Nama Syarikat | Tarikh Laporan | PAT Margin (%) |
---|---|---|
ABB Malaysia | 31 Dec 2018 | 3.85 |
Tamco Switchgear (Malaysia) | 31 Mar 2019 | 2.80 |
Toshiba Transmission & Distribution Systems Asia | 31 Mar 2019 | (-) |
SRS Power Engineering | 31 Mei 2018 | 10.34 |
Powerwell | 31 Dis 2018 | 11.52 |
INDKOM Engineering | 30 Ogos 2018 | 21.65 |
Penggunaan Dana IPO
Powerwell akan mengumpul dana sebanyak RM 21.85 juta. Dana ini akan dibahagikan seperti di bawah.
Jenis Dana | Nilai (RM juta) | Peratus (%) |
---|---|---|
Perbelanjaan modal | 10.27 | 47.0 |
Perbelanjaan pensijilan | 3.87 | 17.7 |
Modal kerja | 3.62 | 16.6 |
Perbelanjaan untuk IPO | 4.10 | 18.76 |
Dana ini akan digunakan untuk menambahbaik kilang dan pengeluaran Powerwell. Sebahagian modal akan digunakan untuk pembelian mesin dan peralatan. Mereka juga ingin menambahbaik sistem ERP untuk pengurusan kilang yang lebih cekap.
Kesimpulan
IPO Powerwell ini mendapat skor sebanyak 3/4. Untuk perbandingan, anda boleh pergi ke laman IPO Analysis.
PE ratio dalam prospektus dicatat pada 11.96 berdasarkan tahun kewangan 2018. Namun, perkembangan terbaru pula mencatatkan PE ratio pada angka 13 walaupun dengan margin keuntungan yang lebih tinggi. Ini adalah suatu yang perlu diberi perhatian sekiranya anda ingin membeli saham ini.
Melihat dari segi kewangan pula, Powerwell berada pada kedudukan yang baik dengan liabiliti yang rendah. Kedudukan ini diperkuatkan lagi dengan unjuran Kementerian Kewangan yang menjangkakan pertumbuhan 3.7% dalam sektor pembinaan. Maka dari sini anda boleh jangkakan suatu kemungkinan yang positif untuk IPO ini.
Cara Membeli
IPO Powerwell Berhad ni boleh dibeli melalui bank. Sekiranya anda menggunakan Maybank atau CIMB, anda boleh gunakan link yang disediakan ini.
Tutorial video membeli IPO dengan Maybank