Pengeluaran dijangka meningkat untuk Sawit
Menuju ke hadapan, pengeluaran minyak mentah kelapa sawit bakal meningkat lebih kurang tiga peratus. Hal ini didasari dua faktor utama iaitu perluasan kawasan penanaman dan juga cuaca kering dan panas.
Pada 2020, sebanyak 19.14 juta tan metrik minyak kelapa sawit dihasilkan. Unjuran buat 2021 adalah sebanyak 19.70 juta tan metrik minyak kelapa sawit akan dikeluarkan. Data ini memetik kenyataan Menteri Perusahaan, YB Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.
Sementara itu, perladangan dikelaskan sebagai sektor perlu. Sektor perlu memastikan bahawa hanya penjarakkan fizikal sahaja yang dilakukan, dan tidak tertakluk kepada kawalan pergerakan. Di kala buruh asing tidak cukup, langkah ini cukup tepat dan tuntas sekali.
Sejajar dengan pemulihan perdagangan antarabangsa akibat penemuan vaksin, pertumbuhan eksport diramal terus memberangsangkan. Dari Januari hingga Jun 2020, 15% pendapatan eksport negara datangnya daripada eksport agrokomoditi, dengan nilai sejumlah RM133.2 billion. Angka ini meningkat berbanding RM 117 billion pada tahun sebelumnya. Daripada jumlah tersebut, minyak sawit menyumbang 64.8 billion ringgit iaitu sebanyak 48.6 peratus.
Saham yang dijangka terkesan dengan fakta-fakta di atas adalah FGV dan saham-saham perladangan sawit antaranya disenaraikan dalam sektor perladangan. Walaubagaimanapun, Felda sedang dalam proses membeli semula saham yang diapungkan dalam FGV, dan seterusnya akan menswastakannya.
Perubahan struktur dalam MSM
MSM merupakan anak syarikat FGV. MSM menghasilkan gula, di mana jenama yang terkenal di bawah mereka ialah Gula Prai dan Gula Perlis.
MSM ini merupakan syarikat yang telah mendapat publisiti Oktober 2020 kerana terdapat inventori hilang yang tidak dapat dijelaskan sebabnya oleh bekas CEO MSM. Datuk Khairil Anuar Aziz sebagai CEO lama telahpun diganti. CEO baru bernama Fakhrunniam Othman merupakan lulusan ACCA, UK dan MBA daripada Royal Melbourne Institute of Technology.
CEO baru ini hanyalah perlantikan sementara. Hal ini bagi memberi ruang mencari CEO baru selepas kerugian yang tidak dapat dijelaskan oleh Datuk Khairil Anuar Aziz sebanyak RM 36.6 juta pada tahun kewangan 2019.
MSM mencatatkan kerugian yang teruk pada tahun 2019. Keadaan kelihatan lebih baik pada tahun 2020 walapun masih dalam keadaan yang rugi. Dalam laporan suku tahunan terbaru Februari 2021, syarikat mencatatkan keuntungan suku tahunan buat kali pertama selepas kerugian 8 suku berturut-turut. Pengurusan baru kelihatan membuahkan hasil dan permintaan terhadap gula kekal tinggi.
Dengan kenaikan untung suku tahunan pertama ini, saham menunjukkan kenaikan mendadak. Dengan pergerakan macam ini, anda perlu menjadi lebih berhati-hati untuk menentukan entry untuk membeli saham ini. Boleh jadi, cepat naik, cepat juga turun. Namun, sekiranya anda rasakan kenaikan mendadak ini wajar, mungkin boleh cari titik yang sesuai untuk masuk.