Semenjak tahun 2020 sehingga kini jelas kelihatan trend kenaikan permohonan Tawaran Awam Permulaan atau dikenali sebagai Initial Public Offering (IPO) di Bursa Malaysia.
Tahun 2022 ini sahaja telah terdapat sebanyak enam IPO yang telah disenaraikan. Antara IPO yang menarik perhatian ramai pada tahun ini adalah Farm Fresh Berhad, yang telah membuat kenaikan sehingga 30% pada hari penyenaraian.
Maksud IPO dan cara membelinya
IPO adalah singkatan kepada Initial Public Offering. Ia adalah situasi di mana sesebuah syarikat persendirian pertama kali menjual sebahagian milikan syarikatnya kepada orang awam. Untuk penjelasan yang lebih terperinci, boleh rujuk blog kami, Apa itu IPO?
Kami juga ada menjelaskan tentang cara nak mohon IPO melalui MITI (online dan offline) serta melalui bank-bank seperti Maybank dan CIMB. Cara semak status permohonan IPO pula kami telah terangkan di dalam blog ini.
Namun, bagaimana pula jika anda lihat wang yang anda gunakan untuk memohon IPO di bank tidak dikembalikan, tetapi saham tersebut tidak muncul di dalam akaun CDS anda? Kami senaraikan kemungkinan situasi ini terjadi di bawah.
Kenapa saham IPO tidak muncul di akaun CDS?
1. Salah masuk nombor CDS
Kesilapan ini adalah antara kesilapan yang biasa terjadi dikalangan pelabur IPO. Perlu diingatkan kembali, nombor akaun CDS adalah sebanyak 15 angka, iaitu 9 angka nombor CDS, 3 angka kod broker serta 3 angka cawangan. Contohnya boleh dilihat seperti di bawah:
Kod broker: 012 (Contoh menggunakan Mplus)
Kod cawangan: 001 (Contoh menggunakan Mplus)
Nombor CDS: 123456789
Nombor 15 angka akaun CDS anda akan jadi seperti ini:
012-001-123456789 atau 012001123456789
Pastikan anda menyemak nombor akaun CDS anda berulang kali sebelum menghantar permohonan. Kami juga ada menyediakan blog Macam Mana Nak Cari Nombor Akaun CDS? sebagai panduan untuk anda.
2. Menggunakan akaun bank pihak ke-3
Sama seperti mendepositkan wang ke dalam akaun CDS, pembelian saham IPO juga tidak boleh sama sekali dilakukan menggunakan akaun bank pihak ketiga. Akaun bank pihak ketiga yang dimaksudkan di sini adalah akaun bank penama yang berlainan dengan pemilik akaun CDS.
Sebagai contoh, akaun CDS adalah milik Ahmad (suami), tetapi pembelian IPO dilakukan dengan menggunakan akaun bank Siti (isteri). Dalam situasi ini, permohonan akan ditolak.
3. Permohonan menggunakan akaun CDS yang berlainan
Untuk makluman, seorang penama (satu kad pengenalan) hanya boleh memohon IPO menggunakan satu akaun CDS sahaja, walaupun individu tersebut mempunyai dua atau lebih akaun CDS dari pelbagai broker.
Contohnya, jika anda mempunyai akaun CDS bersama M+ dan juga CGS-CIMB, anda hanya boleh memilih salah satu akaun CDS sahaja untuk membuat permohonan IPO.
Kesan dan tindakan yang boleh diambil
Jika anda ada melakukan salah satu kesilapan seperti di atas, usah risau kerana wang anda akan dikembalikan semula ke dalam akaun bank.
Namun begitu, anda juga boleh menghubungi pihak issuing house (seperti Tricor, Malaysian Issuing House dan lain-lain) untuk mengetahui penjelasan lebih lanjut.