UMUM

13-JAN-2021

Rantaian Industri Oil and Gas (Bahagian 1)


 


Berjuta–juta tahun yang lalu, tumbuhan dan haiwan yang mereput membentuk menjadi lapisan–lapisan tebal. Jirim tumbuhan dan haiwan yang reput ini dipanggil sebagai bahan organik (benda hidup satu ketika dulu). Masa berlalu, pasir dan kelodak berubah menjadi batu, menutupi bahan organik, dan terperangkap di bawah batuan.

Tekanan dan haba yang sangat tinggi dari kerak bumi menukarkan sebahagian bahan organik kepada komoditi minyak mentah (petroleum) dan sebahagian lagi kepada gas asli (gas yang tidak berbau). Kawasan yang terdapat sumber-sumber ini dipanggil sebagai oil and gas reservoir (takungan minyak mentah dan gas asli).

offshore seismic survey

Kegunaan hasil penapisan petroleum

Terdapat banyak manfaat dan kegunaan daripada hasil penapisan (refining) kedua-dua komoditi ini. Sebagai contoh, majoriti produk dari minyak (petroleum) boleh digunakan dalam industri pengangkutan (kapal terbang, kereta, lori). Aplikasi lain seperti produk plastik, kosmetik, elektronik, baja, penghasilan ubat-ubatan turut boleh dihasilkan daripada 'refined petroleum'. Produk dari pemprosesan gas asli pula kebiasaannya digunakan dalam sektor 'energy generation' (menyalakan dapur, pemanas air, peralatan elektrik, pemanasan kediaman atau janakuasa tenaga).

crude oil distillation and products

Sumber minyak mentah dan gas asli ini tertanam di dasar permukaan bumi dengan purata kedalaman 5,000 kaki di daratan (onshore), dan 10,000 kaki di lautan dalam (offshore). Persoalannya, bagaimanakah kita ingin memperoleh minyak mentah dan gas asli ini untuk membawanya ke permukaan bumi? Jawapannya, ini boleh dilakukan dengan pelbagai kepakaran teknikal dan gabungan dari perkhidmatan ahli jurutera, saintis dan geologi.

Upstream

Pencarian dan penyeluaran minyak mentah & gas asli

Pada peringkat pertama ini, ahli geologi dan jurutera akan melakukan beberapa ujian dan pengiraan untuk ciri-ciri fizikal dan kimia batuan di permukaan bumi. Antara alat yang selalu digunakan dan terbukti keberkesanannya ialah tinjauan seismik.

Tinjauan seismik

Sesebuah trak atau kapal akan mengeluarkan Isyarat gelombang seismik menggunakan bahan letupan untuk menghasilkan getaran dalam bumi. Imej reflektif (2D atau 3D) dari gelombang bawah permukaan bumi akan diterima dan direkodkan oleh sensor geofon atau hidrofon.

Tinjauan ini digunakan untuk mencari minyak mentah, gas asli dan mineral atau untuk penyiasatan saintifik lain. Di Malaysia, antara syarikat yang menawarkan perkhidmatan upstream-greenfield operation (pencarian minyak mentah & gas asli) ialah UZMA (menyediakan software tinjauan seismik).

offshore seismic survey Gambar: krisenergy.com

Menyediakan pelantar minyak

Sekiranya kawasan tersebut berpotensi, kerja-kerja mengorek (drilling) akan dimulakan untuk membawa minyak mentah dan gas asli ke permukaan bumi. Sebelum itu, pelantar minyak yang dilengkapi dengan pelbagai mesin haruslah dibina (fabrication) terlebih dahulu di 'field' yang telah dikenal pasti.

Setelah sesuatu pelantar atau 'jacket' siap dibina, penghantaran pelantar yang telah siap dibina biasanya menggunakan 'barge' yang mampu menampung berat keseluruhan struktur binaan pelantar tersebut. Proses ini sangat rumit dan kritikal kerana sebarang kesilapan akan menyebabkan struktur yang telah dibina berbulan-bulan lamanya hilang di tengah lautan (offshore).

sapura rig Gambar: Sapura Energy

Melengkapkan pelantar

Kemudian, proses 'hook up' (penyambungan paip dari pelantar ke reservoir) dan 'commissioning' (ujian untuk keseluruhan sistem pelantar) akan dilaksanakan untuk memastikan keseluruhan sistem berfungsi dengan baik dan lancar. Akhir sekali, kerja 'drilling' iaitu penggerudian di kawasan bekalan simpanan minyak atau gas akan dilaksanakan.

Penyelenggaraan dan baik pulih

Kegagalan operasi selama satu hari boleh mengakibatkan kerugian berjuta-juta ringgit serta kemalangan yang amat dahsyat dan berbahaya kepada kontraktor dan petugas. Maka, perkhidmatan operasi, membaik pulih dan penyelenggaraan amatlah penting untuk memastikan operasi pengeluaran minyak dan gas yang berisiko tinggi ini berjalan dengan lancar.

Saham yang terlibat

Di Malaysia, antara syarikat yang menyediakan perkhidmatan untuk menjaga dan membaik pulih upstream-brownfield operation (telaga minyak yang telah diteroka) ialah Velesto, Sapura Energy, Dayang dan lain-lain seperti yang boleh dilihat di bawah.

crude oil distillation and products

Sambungan bacaan tajuk Oil & Gas ini boleh dibaca di Bahagian 2.


< kembali ke laman blog utama