E-Dompet atau E-wallet adalah satu teknologi kewangan baru yang boleh digunakan sebagai kaedah pembayaran. Teknologi ini semakin mendapat tempat kerana ianya mudah dan selamat digunakan. Di Malaysia, kita ada banyak pemain e-wallet, dan masing-masing mempunyai kelebihannya tersendiri.
3 Syarikat Terbesar
Tiga pemain utama penggunaan e-wallet di Malaysia adalah Touch 'n Go, Boost dan Grab. Ketiga-tiga syarikat ini dilantik sebagai vendor untuk pengagihan e-tunai rakyat yang diumumkan dalam bajet 2020 Oktober lalu.
1. Touch 'n Go eWallet
Touch 'n Go (TnG) ni rakyat Malaysia dah tentu kenal. Dia dah ada sejak tahun 1997 lagi sebagai pengutip bayaran tol secara elektronik. Namun, TnG yang kita kenal ini cuma mulakan operasi eWallet melalui Touch 'n Go Digital Sdn Bhd ini pada tahun 2018.
Penggunaan TnG eWallet ini yang paling dikenali adalah pada RFID dan PayDirect yang membolehkan anda membayar tol. Maka boleh dikatakan eWallet ini agak sustainable kerana semua pengguna di Malaysia ini bayar tol. Selain tol, eWallet ini juga boleh digunakan untuk pembayaran di kedai, bayar bil, parking dan sebagainya.
- Pemilik:
- CIMB Group Holdings Berhad
- Jumlah Pengguna:
- 6.5 juta*
- Jumlah Penjual:
- 110 ribu*
*Sumber: The Star, Jan 2020
2. Boost
Boost adalah sebuah syarikat yang agak baru di bawah kumpulan Axiata Group Berhad. Namun, Boost dilihat mendapat tempat di kalangan pengguna Malaysia dengan pengguna yang ramai, didorong oleh promosi, peraduan dan program ganjaran yang berkesan. Antara penggunaan Boost adalah pembayaran bil, bayaran di kedai, bayaran online, restoran dan sebagainya.
- Pemilik:
- Axiata Group Berhad
- Jumlah Pengguna:
- 5.1 juta**
- Jumlah Penjual:
- 135 ribu**
**Sumber: NST, Jan 2020
3. Grab
GrabPay adalah salah satu ciri dalam aplikasi Grab yang boleh digunakan sebagai pembayaran. Dalam Grab sendiri, ada beberapa rangkaian perkhidmatan untuk pengangkutan, makanan, penghantaran, pembelian barangan runcit dan sebagainya.
- Pemilik:
- Anthony Tan (ahli keluarga dari Tan Chong Motor Holdings Berhad)
- Jumlah Pengguna:
- Tiada maklumat
- Jumlah Penjual:
- Tiada maklumat
Syarikat lain
Setel
Pemilik: Petronas Dagangan Berhad
Selain tol, minyak juga merupakan salah satu keperluan kepada pengguna jalan raya. Setel adalah satu e-wallet yang membolehkan pembelian minyak petrol di stesen minyak Petronas. Dengan menggunakan Setel, anda tak perlu pergi ke kaunter atau swipe kad kredit di pam minyak dan kad mesra. Semuanya boleh 'setel' dari aplikasi Setel. Kelemahan aplikasi ini ialah ketiadaan penggunaan selain untuk membeli minyak.
BigPay
Pemilik: AirAsia Group Berhad
Pendaftaran BigPay akan disekalikan dengan kad prabayar yang menggunakan kaedah pembayaran MasterCard. Kelebihan BigPay ini adalah kesesuaian penggunaan merentasi negara kerana pengeluaran wang melalui BigPay ini lebih murah daripada pertukaran matawang. Anda juga boleh semak penggunaan anda melalui aplikasi BigPay. Ganjaran BigPay boleh didapati dalam bentuk BIG Point yang boleh ditebus untuk penerbangan tiket AirAsia.
AEON Wallet
Pemilik: AEON Credit Service (M) Berhad
Kalau anda selalu shopping di AEON, mungkin AEON Wallet ni sesuai untuk anda. Tak banyak kelebihan yang boleh didapati dari e-wallet ini untuk penggunaan yang meluas. Ianya lebih kepada mengumpul mata ganjaran apabila membeli belah di kedai-kedai AEON.
Infrastruktur
Syarikat e-wallet ini kebanyakannya menggunakan perkhidmatan dari pihak ketiga untuk membina infrastruktur e-wallet pada aplikasi mereka. Selain itu, syarikat ini juga ada yang menawarkan terminal penerimaan bayaran yang dibuat melalui kad bank atau e-wallet.