Ramadan tiba, ramadan tiba, ramadan tiba.
Begitulah lagu yang kita biasa dengar bila dah masuk bulan berpuasa ni. Tahun ni, puasa kita tak sama dengan tahun-tahun sebelumnya. Anda pun tahu sebab apa. Sebabnya tahun ni kita tak ada bazar! Maklumlah dengan masalah wabak Covid-19 yang masih belum selesai ni, kita memang tak digalakkan keluar untuk memelihara kesihatan.
Bulan puasa ni dah sinonim dengan bulan untuk kita merebut amal kebaikan. Sebabnya pahala kita semuanya digandakan sebanyak 10 hingga 700 kali ganda.
Dicatatkan dalam hadis, dari Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia akan dilipat gandakan dengan sepuluh kebaikan yang semisal, hingga tujuh ratus kali ganda.”
Anda yang melabur saham ni dah tentunya faham kalau saham 10 sen harganya naik menjadi RM 70. Memang sangat-sangat untung. Kebaikan yang berlipat ganda ni pula kita dapat bawa ke akhirat. Inilah dia jawapan kepada tajuk di atas tadi. Saham yang beruntung kita boleh laburkan adalah saham akhirat, dan modalnya cumalah kebaikan. Untungnya berkekalan di akhirat nanti.
Konsep saham dalam amalan
Konsep perbelanjaan harta untuk kebaikan mempunyai gambaran hebat yang diterangkan dalam Al-Quran. Firman Allah:
“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.”
Dari ayat ini, kita dapat lihat betapa luasnya pahala kebaikan yang kita boleh dapat dengan membelanjakan harta ke jalan Allah. Istilah “membelanjakan harta ke jalan Allah” boleh merujuk kepada apa-apa belanja yang mematuhi syariah dan bertujuan untuk mencari keredhaan dari-Nya.
Perbelanjaan ini termasuklah untuk keperluan diri, keluarga, kerabat, atau masyarakat umum. Semua ini akan dibalas berlipat ganda seperti ayat tadi. Maka sebenarnya sangatlah senang untuk kita dapatkan kebaikan yang telah dijanjikan ini.
Hidup ini hanya sementara
Manusia tak hidup lama. Kalau di Malaysia, purata jangka hayat kita adalah sehingga 75 tahun. Kalau dibandingkan dengan umur sekarang, mungkin ada di antara kita dah melangkau 1/3 daripada hayat ini. Ada juga yang mungkin melangkaui 1/2 atau 2/3 hayat ini. Namun sebenarnya kita tak tahu di mana hayat kita. Maka apa yang terbaik untuk kita adalah kumpul kebaikan ini sebanyak mungkin sebagai bekalan akhirat nanti.
Ada beberapa perkara yang kita boleh buat untuk menyambungkan amalan kita apabila kita meninggalkan dunia ini. Antaranya telahpun dirakam dalam hadis yang bermaksud:
“Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.”
Maka dari sini ada tiga perkara yang boleh menyambung amalan kita di dunia ini:
- Sedekah jariah
- Ilmu yang boleh dimanfaatkan
- Doa anak yang soleh
Kita akan tumpukan kepada perkara pertama dan kedua yang boleh diamalkan oleh sesiapa pun sama ada yang sudah berkahwin, bujang atau yang berumur. Ingatlah bahawa dalam rezeki yang kita dapat, di situ ada rezeki orang lain juga.
Contohnya nasi yang kita makan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Di situ ada bahagian petani yang menanam dan menuai padi. Maka ringankan tangan dan poket kita untuk memberikan kepada yang lain.
Di iSaham, kami ada sebuah senarai organisasi yang mengamalkan kebajikan. Kalau anda pergi ke laman ni, anda boleh pilih organisasi kesukaan anda. Kami akan sumbangkan sebahagian daripada keuntungan kami kepada organisasi ini secara berkala. Mudah-mudahan dengan sumbangan ini, anda pun dapat sebahagian daripada kebaikan tersebut.
Bila umur semakin meningkat, ilmu kita pun semakin bertambah. Ilmu yang kita ada itu boleh diturunkan kepada yang lain agar manfaatnya jadi berterusan. Dengan ilmu, hidup seseorang boleh berubah. Kita tak dapat jangka sehebat mana perkara yang boleh dimanfaatkan dengan ilmu. Maka ianya suatu perkara yang mulia untuk diamalkan dan disampaikan.
Kesimpulan
Akhir sekali, dalam tekunnya kita melabur untuk menambah pendapatan, jangan kita lupa adanya saudara kita di luar sana yang mungkin malam ni tak ada makanan untuk berbuka. Di bulan yang mulia ini, marilah kita sama-sama membantu mereka yang hidupnya susah. Semoga dengan amal kebaikan kita, saham kebaikan kita dapat disambungkan di akhirat nanti.