Pelaburan saham bukanlah suatu perkara yang baru. Ia merupakan sebuah instrumen pelaburan yang digunakan oleh institusi-institusi besar seperti KWSP, ASB, Tabung Haji dan lain-lain. Ramai yang sebenarnya telah pun menikmati pulangan dari pelaburan saham sama ada secara langsung atau tidak langsung. Namun, ramai juga yang masih tersalah faham tentang pelaburan saham yang kita akan kupaskan dalam tulisan kali ini.
1. Pelaburan saham itu judi

Ada yang mengatakan bahawa pelaburan saham itu adalah judi maka ia menjadikan pelaburan ini haram. Tak dinafikan, ada yang membeli saham sama tanpa berasaskan apa-apa. Perbuatan ini mungkin boleh termasuk dalam perjudian. Ada yang sebut main saham. Istilah 'main' di sini hampir sama maksudnya dengan main judi. Maka sebutan yang betul ialah membeli atau melabur saham.
Sekiranya anda faham apa itu saham, anda akan faham asas pembelian saham. Kita boleh lihat dari perspektif fundamental atau teknikal sesebuah saham. Dari perspektif ini, kita dapat menilai potensi yang ada pada saham tersebut. Maka inilah yang sepatutnya difahami oleh pelabur dan bakal pelabur sekalian.
2. "Bukan untuk saya"
Mengetahui saham sebagai salah satu pelaburan yang berisiko tinggi, ada yang sebut pelaburan saham bukan untuk diri mereka. Alasannya adalah mereka tak sanggup hadapi risiko ini. Sebenarnya, saham itu adalah untuk semua orang. Ada banyak saham di pasaran Bursa dengan profail risiko yang pelbagai sama ada tinggi atau rendah. Sekiranya ingin pelaburan berisiko rendah, boleh pilih saham yang kukuh dengan pemberian dividen yang konsisten. Sekiranya ingin pertumbuhan yang lebih banyak, ada banyak saham yang syarikatnya semakin membesar.
3. Perlu modal besar untuk melabur saham

Sebenarnya, modal ini adalah subjektif. Lain orang, lain keadaannya. Orang lain mungkin boleh bermula dengan berpuluh-puluh ribu ringgit sebagai modal pendahuluan. Ada orang bermula dengan beratus-ratus. Kedua-duanya boleh menghasilkan keuntungan. Kedua-duanya juga boleh mengakibatkan kerugian.
4. Perlu masuk kelas mahal untuk belajar saham
Kita boleh lihat ramai sifu-sifu yang membuka kelas dengan pelbagai pakej mahal untuk 'bantu' pelabur. Ada yang fikir memang wajar kelas seperti ini harganya beribu-ribu untuk ilmu melabur. Ilmu ini sangat berharga kerana ia boleh jadikan kita kaya, maka memang patut harganya mahal. Ada yang berfikir begitu, maka mereka pun bayar sahaja berapa yang disebut oleh sifu-sifu ini.
Beribu-ribu telah dikeluarkan, tapi anda belum mula melabur. Sedangkan anda boleh juga membaca buku-buku pelaburan saham untuk dapatkan ilmu pelaburan. Ada juga kelas-kelas yang lebih murah dan dapat berikan input yang anda perlukan untuk bermula. iSaham juga ada tawarkan kelas yang ditaja oleh Bursa Malaysia untuk disampakan secara percuma. Anda cuma perlu daftar sahaja untuk turut serta.
5. Beli saham murah untuk untung lebih besar
Saham ada bermacam-macam harga. Ada yang kurang 10 sen, ada yang berringgit-ringgit, ada yang berpuluh-puluh ringgit. Saham yang murah-murah ni memang ramai yang suka sebab bila naik 1 - 2 bid pun boleh berikan pulangan yang bagus. Namun, ada yang hanya mengira senario yang indah-indah sahaja tanpa mengira risiko yang bakal dihadapi.

Saham-saham yang murah ini sangat sensitif kepada pergerakan harga. Contohnya sekiranya saham itu berharga 10 sen, penurunan 1 sen pun boleh membuatkan anda rugi sebanyak 10%. Saham murah seperti ini juga kita tak tahu bila dia nak naik. Sebenarnya ada sebab kenapa harga saham itu begitu murah. Sekiranya anda nak masuk saham-saham murah seperti ini, fahamkan dulu risiko kehilangan 10% sekelip mata. Kalau dah faham, gunakan modal lebihan keuntungan pelaburan sebelum ini untuk masukkan di sini.