Di zaman teknologi yang serba moden ini, penipuan datang dalam pelbagai bentuk. Min sendiri baru sahaja hampir ditipu oleh scammer yang menyamar sebagai pegawai polis. Jadi, jaga diri anda dari ditipu sama ada dalam pelaburan, alam maya dan sebagainya. Dalam blog kali ini, iSaham ingin memberikan peringatan kepada semua supaya tidak mudah ditipu oleh scammer.
Jenis-jenis scam
Memahami jenis-jenis penipuan yang biasa berlaku adalah langkah pertama untuk melindungi diri. Antara penipuan yang sering terjadi ialah:
- Penipuan pelaburan: Tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko rendah. Kebiasannya menjanjikan pulangan untung dengan kadar segera. Ada juga yang menyamar sebagai institusi atau syarikat, begitu juga iSaham.
- Phishing: Penipuan melalui e-mel atau mesej yang kelihatan seperti dari sumber yang sah untuk mencuri maklumat peribadi.
- Penipuan cinta: Penipu yang menyamar sebagai pasangan romantik untuk mendapatkan wang.
- Penipuan jualan dalam talian: Pembelian barangan yang tidak wujud atau tidak seperti yang diiklankan.
- Penyamaran: Penipu cuba menyamar sebagai pihak berkuasa atau orang lain seperti ahli keluarga dan rakan.
Cara-cara elak diri anda ditipu
1. Jangan beri maklumat peribadi sembarangan
Salah satu cara utama untuk mengelakkan penipuan adalah dengan tidak berkongsi maklumat peribadi anda.
- Elakkan berkongsi maklumat sensitif: Jangan berikan nombor kad pengenalan, akaun bank, atau kata laluan melalui telefon, e-mel, atau laman web yang tidak sah.
- Periksa sumber: Sentiasa semak alamat e-mel atau URL laman web untuk memastikan ia sahih sebelum memberikan maklumat.
2. Hati-hati dengan tawaran yang terlalu bagus
Jika sesuatu tawaran kelihatan terlalu baik untuk menjadi kenyataan, ia mungkin adalah penipuan.
- Tawaran pelaburan: Berhati-hati dengan tawaran yang menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko rendah dan kadar segera. Pastikan instrumen dan platform pelaburan adalah sah.
- Tekanan untuk bertindak segera: Penipu sering menggunakan taktik tekanan untuk memastikan mangsa bertindak cepat tanpa berfikir panjang.
3. Semak kesahihan sumber
Sebelum terlibat dalam sebarang transaksi atau memberikan maklumat, penting untuk menyemak kesahihan sumber.
- Lakukan penyelidikan: Semak latar belakang syarikat atau individu yang menghubungi anda. Pastikan ia dari sumber rasmi.
- Hubungi sumber rasmi: Jika anda menerima panggilan atau e-mel yang mencurigakan, hubungi syarikat atau institusi tersebut melalui nombor rasmi mereka untuk pengesahan.
4. Catat maklumat pemanggil
Mencatat maklumat pemanggil boleh membantu anda mengenal pasti penipu dan melaporkan mereka jika perlu.
- Ambil nota: Catat butiran pemanggil, termasuk nombor telefon dan nama mereka. Lebih baik anda menyimpan bukti seperti rakaman suara atau screenshot.
- Laporkan kepada pihak berkuasa: Jika anda merasa terancam, laporkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan.
5. Gunakan aplikasi untuk mengenal pasti panggilan mencurigakan
Menggunakan teknologi dapat membantu anda mengelakkan penipuan.
- Aplikasi penyekat panggilan: Terdapat aplikasi yang boleh membantu menyekat panggilan daripada penipu. Contohnya, aplikasi seperti Truecaller boleh membantu mengenal pasti nombor yang mencurigakan.
- Semak nombor telefon: Gunakan laman web yang mengumpul maklumat tentang scammer untuk memeriksa nombor telefon yang mencurigakan sebelum menjawab.
6. Berhati-hati dengan aplikasi dan laman web
Pastikan anda hanya menggunakan aplikasi dan laman web yang sah.
- Elakkan muat turun aplikasi mencurigakan: Jangan muat turun aplikasi yang tidak dikenali kerana ia mungkin mengandungi malware yang boleh mencuri maklumat peribadi anda.
- Periksa alamat laman web: Pastikan laman web yang anda gunakan adalah laman web rasmi dan selamat sebelum memberikan maklumat peribadi. Elakkan menekan apa-apa link yang tidak selamat.
7. Berfikir sebelum bertindak
Jangan bertindak melulu sekiranya ia melibatkan duit dan maklumat peribadi. Jika ada yang meminta anda untuk memindahkan wang tanpa sebarang sebab, jangan beri wang tersebut dan putuskan panggilan.
- Sahkan akaun penerima: Lihat kepada siapa anda akan pindahkan wang tersebut. Adakah ia akaun syarikat atau institusi yang sah atau individu yang menyamar. Jangan memindahkan wang sekiranya anda curiga.
- Jaga emosi: Sentiasa tenang dan jaga emosi supaya anda dapat berfikir secara rasional. Mohon bantuan mereka yang terdekat.
Dengan mengikuti langkah-langkah ini, anda dapat mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan. Sentiasa berwaspada dan lakukan penyelidikan sebelum membuat keputusan yang melibatkan maklumat peribadi atau kewangan. Yang paling penting sentiasa kawal emosi dan berfikir secara rasional sekiranya anda berdepan dengan sebarang situasi yang berkemungkinan anda boleh ditipu. Yang paling penting, laporkan terus kepada pihak berkuasa di saluran yang sah. iSaham mengharapkan kita semua terhindar dari ditipu oleh scammer-scammer di luar sana.