UMUM

17-DEC-2020

Super Ring Lazat Super Ring Riang


AZ    


Siapa sahaja tidak mengetahui makanan snek Super Ring yang menjadi kegilaan orang ramai? Bukan sahaja kanak-kanak, malah golongan dewasa turut menggemarinya. Snek yang berbentuk bulat seakan cincin, kita pasti akan meletakkan di jari dan makan begitu sahaja. Snek atau jajan ini bukan sahaja berperisa keju manis, malah pasti akan melekat warna oren di jejari kita. Tetapi dari manakah asal usul snek ini diperkenalkan?

Sejarah Snek Berperisa Keju

Pada asasnya snek ini diperbuat daripada tepung jagung dan tepung beras yang dicampurkan bersama serbuk berperisa keju berwarna oren. Sebelum dipasarkan di Malaysia, snek ini terlebih dahulu terkenal di beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat dan Australia.

Gambar : Produk Twisties diperkenalkan di Australia pada tahun 1950

Di Amerika Syarikat sekitar tahun 1930 sehingga 1940 beberapa jenama mula popular seperti Korn Kurls, Cheetos disebabkan perkembangan budaya menonton televisyen terutamanya golongan kelas menengah. Pada ketika, golongan ini banyak mengisi masa lapang menonton televisyen sambil menikmati makanan snek. Di Malaysia jenama Super Ring mula diperkenalkan pada tahun 1978 oleh Oriental Food Industries yang bertapak di Ayer Keroh, Melaka.

Super Ring semakin viral

Ketika berlakunya perubahan tampuk kepimpinan kerajaan, ungkapan snek super ring semakin popular disebabkan seorang wanita membuat bantahan di Dataran Merdeka pada bulan Mac. Wanita tersebut berasa kecewa dan marah sehinggalah mengeluarkan kata-kata yang agak lucu didengar di hadapan khalayak ramai.

“Orang cakap rakyat Malaysia berdiam diri, tak kesah kalau politik bertukar, tak kesah!! Duduk boleh makan super ring dengar berita, eh aku tak macam tulah! aku marah!!! siapa dia? “

Ungkapan tersebut telah menjadi fenomena terutamanya di media sosial, malah dijadikan parodi dalam kalangan artis. Bukan itu sahaja, ia terus dipopularkan dan menjadi publisiti oleh mantan perdana menteri ke-enam Datuk Seri Najib Razak sebagai bahan jenaka. Tanpa disangka produk snek Super Ring semakin meningkat permintaan setiap hari.

Bukan sahaja popular di Malaysia, malah semakin terkenal dan mendapat sambutan di Korea Selatan. Snek ini mendapat pengiklanan dan pemasaran percuma apabila dikatakan menjadi keropok kegemaran artis Blackpink iaitu Jennie dan Jisoo. Snek ini telah dijual 1200 won bersamaan RM4.29.

Gambar: Vitdaily

Pasaran Saham

Siapa kata snek Super Ring tiada dalam pasaran dagangan Bursa Malaysia? Ya, memang ada. Snek Super Ring telah dikeluarkan oleh Syarikat Oriental Industries Holding Berhad (OFI). Syarikat ini bukan sahaja menumpukan dalam bidang pembuatan dan pemasaran makanan, malah beroperasi dalam segmen pembangunan hartanah, dan syarikat pemegang pelaburan.

Subsidiari di bawah syarikat ini termasuklah Oriental Food Industries Sdn Bhd., OFI Properties Sdn Bhd. dan Oriental Food Marketing (M) Sdn Bhd. Oriental Food Industries Sdn Bhd memfokuskan makanan berasaskan snek yang terbahagi kepada beberapa kategori, antaranya snek, biskut, snek berasaskan potato, kek dan wafer. Produk yang terkenal seperti Super Ring, Jacker, Zess, Rota, dan banyak lagi.

Dari segi pasaran saham OFIH, pada mulanya menunjukkan penurunan pada awal bulan Mac sekitar RM0.45 yang merupakan paras terendah pada bulan tersebut. Tetapi sejak berlakunya pkp dan popular di media sosial, ia merekodkan kenaikan berturut pada bulan April dan Mei. Pada bulan Jun pasaran saham OFIH pernah mencecah paras tertinggi pada 11 Jun 2020 sekitar harga RM0.81 sesaham. Kini saham OFIH terus meningkat dan didagangkan RM0.87 pada 21 Februari 2021.

 

 


< kembali ke laman blog utama