IPO

06-DEC-2021

Swift Haulage Meluaskan Pasaran dalam Industri Logistik


 


Swift Haulage

Swift Haulage Berhad adalah sebuah syarikat yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan logistik bersepadu yang merangkumi pengangkutan kontena, pengangkutan darat, pergudangan dan perkhidmatan agensi penghantaran barang. Butiran IPO Swift Haulage adalah seperti di bawah:

 
Harga IPO:
RM 1.03
Status syariah:
Dinilai syariah oleh SAC
Pasaran:
Main Market
Market Capitalisation:
RM 916.5 Juta
Nisbah PE:
17.8 (FYE 31 Disember 2020)
Permohonan ditutup:
7 Disember 2021
Cabutan saham:
9 Disember 2021
Tarikh penyenaraian:
21 Disember 2021

Bisnes Swift Haulage

Swift Haulage Berhad telah diperbadankan pada 29 November 2000 sebagai syarikat persendirian bernama Yinson Haulage Sdn Bhd. Kemudian, nama syarikat diubah kepada Swift Haulage Berhad dan statusnya juga diubah menjadi sendirian berhad pada 24 Jun 2021.

Syarikat Swift Haulage terlibat dalam penyediaan perkhidmatan logistik bersepadu termasuk pengangkutan darat, kontena dan pergudangan. Syarikat ini beroperasi di Malaysia, manakala di Thailand pula lebih bertumpu kepada pengangkutan merentas sempadan dan penghantaran barang.

Bisnes Swift Haulage
Gambar: Swift Haulage

Aktiviti-aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh mereka adalah perkhidmatan pengangkutan kontena, perkhidmatan pengangkutan darat, perkhidmatan pergudangan dan depoh kontena, pengangkutan barang, serta perkhidmatan lain seperti penjualan, pengedaran, perkhidmatan dan alat ganti untuk kenderaan komersial serta peruncitan e-dagang.

Kesan Covid-19 terhadap bisnes

Meskipun operasi syarikat Swift Haulage tidak diberhentikan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), namun pendapatan mereka turut terjejas.

Pada tahun kewangan 2020, pendapatan dari pengangkutan kontena menurun sebanyak 9.4% menjadi 252.7 juta berbanding RM 278.8 juta pada tahun sebelumnya. Penurunan ini berpunca daripada pengurangan terhadap jumlah penghantaran untuk barangan bukan kepentingan dan menyebabkan operasi tergendala sementara.

Perniagaan pengangkutan darat juga mengalami penurunan sebanyak 8.9% iaitu daripada RM 193.2 juta pada tahun 2019, kepada RM 176 juta pada tahun kewangan 2020. Oleh kerana kebanyakan barangan pelanggan tidak dianggap sebagai mustahak, perjalanan pengangkutan darat terpaksa dikurangkan. Secara umumnya, pengurangan aktiviti ekonomi mengurangkan permintaan untuk pengangkutan darat dan pengangkutan rentas sempadan.

Perkhidmatan penghantaran barang juga terjejas bagi tahun kewangan 2020, dengan penurunan sebanyak 16.2% daripada tahun sebelumnya. Jumlah pekerjaan yang dijalankan sepanjang tahun 2020 juga menurun, terutama sekali pada PKP kali pertama, iaitu dari 18 Mac sehingga 3 Mei 2020 oleh kerana kawalan pergerakan yang agak ketat dan telah menjejaskan permintaan penghantaran barang. Permintaan perkhidmatan tambahan juga berkurangan dari pelanggan kerana mereka ingin meminimakan kos.

Prestasi kewangan

Pendapatan Swift Haulage mengalami penurunan dalam tahun kewangan terkini, iaitu dengan RM 555.8 juta berbanding tahun 2019 pada RM 610.2 juta. Tahun 2019 ini juga merupakan rekod pendapatan tahunan tertinggi di dalam tempoh 3 tahun kewangan pemerhatian.

Penurunan keuntungan yang berlaku pada tahun 2020 ini adalah disebabkan oleh operasi syarikat yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 yang berlaku semenjak PKP dimulakan pada 18 Mac 2020.

Prestasi kewangan Swift Haulage
Prestasi kewangan Swift Haulage

Pendapatan Swift Haulage diperolehi melalui 5 segmen iaitu pengangkutan kontena, pengangkutan darat, gudang dan depoh kontena, penghantaran barang serta beberapa perkhidmatan yang lain seperti e-dagang. Majoriti pendapatan syarikat adalah daripada pengangkutan kontena iaitu lebih 40% bagi setiap tahun.

Pada tahun kewangan 2020, pendapatan daripada pengangkutan kontena menurun berbanding dengan tahun sebelumnya. Penurunan ini berpunca dari pengurangan caj harga diesel kepada pelanggan disebabkan faktor penyelarasan harga minyak. Selain itu, kawalan pergerakan yang ketat juga telah memberi kesan terhadap penurunan pendapatan daripada pengangkutan kontena ini.

Kesemua segmen yang lain juga turut merekodkan pengurangan pendapatan akibat terkesan dengan pandemik COVID-19. Ini termasuklah pengangkutan darat yang mengalami penurunan sebanyak 8.9%, pergudangan sebanyak 2.3%, serta penghantaran barang yang turut mengalami penurunan sebanyak 16.2% berbanding tahun 2019. Akan tetapi, depoh kontena mengalami kenaikan sebanyak 18.6% disebabkan oleh pemerolehan Northern Gateway Depot.

Pendapatan segmen industri
Pendapatan Swift Haulage mengikut segmen.

Pada tahun 2021, kebanyakan segmen mengalami fasa peningkatan kerana kebanyakan aktiviti ekonomi sudah mula boleh beroperasi. Contohnya, segmen pengangkutan kontena yang meningkat sebanyak 22.7% daripada tahun sebelumnya, kesan daripada kelonggaran ekonomi dan juga peningkatan caj harga minyak. Segmen penghantaran barang juga menghadapi peningkatan yang baik iaitu sebanyak 9.8% akibat permintaan pekerjaan yang bertambah.

Strategi IPO dan masa depan

Dana yang diterima dari IPO ini akan digunakan untuk tujuan seperti yang berikut:

Dana Nilai (Juta) Peratusan (%)
Pembinaan gudang baru 28.6 17.6
Pembelian tanah 41.6 25.7
Pembelian prime mover 12.0 7.4
Pembayaran hutang bank 69.7 43.1
Perbelanjaan penyenaraian 10.0 6.2
Jumlah 161.9 100.0

Sebahagian besar dana akan digunakan untuk dilaburkan semula dengan pembelian gudang, tanah dan prime mover yang baru. Lagi 43.1% akan digunakan untuk membayar hutang bank dan baki 6.2% akan digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian.

Swift Haulage merancang untuk membina gudang baru di atas tanah pajakan di Port Klang Free Zone dengan keluasan 300,564 kaki per segi. Pembinaan gudang ini adalah untuk menyimpan barangan am. Kemudian, mereka berhasrat untuk memindahkan operasi dari gudang sedia ada untuk menggunakan ruang yang lebih besar. Jangkaan penyiapan pembinaan untuk gudang baru ini adalah pada tahun 2022.

Pada 28 Mei 2020, syarikat Swift Haulage telah membuat perjanjian penjualan saham untuk memperoleh keseluruhan kepentingan ekuiti di dalam syarikat Ann Joo Properties. Ann Joo Properties telah membuat pajakan untuk tanah Bandar Sultan Sulaiman daripada pembina, PKNS. Tanah Bandar Sultan Sulaiman mempunyai keluasan lebih kurang 1,263,231 kaki persegi dengan pegangan tanah sehingga 30 Jun 2105. Swift Haulage dijangkakan akan menyelesaikan pengambilalihan Tanah Bandar Sultan Sulaiman pada suku keempat 2021, dan meneruskan sewaan kepada tanah tersebut kepada 2 penyewa sedia ada. Selepas tamat tempot sewaan, tanah tersebut akan digunakan untuk mengembangkan pengangkutan kontena, pengangkutan darat sedia ada dan/ atau perkhidmatan gudang dan depoh kontena.

Tambahan lagi, Swift Haulage juga berhasrat untuk membeli 30 prime movers baru sepanjang 2022 demi menaikkan armada pengangkutan komersial.

Daripada dana yang diterima juga, sebanyak RM 69.7 juta akan digunakan untuk membuat pembayaran hutang bank. Pembayaran ini dilakukan supaya dapat menambah baik aliran kewangan syarikat untuk digunakan sebagai modal kerja. Selain itu, pembayaran balik pinjaman bank akan dapat menjimatkan lebih kurang RM 2.1 juta daripada kos kewangan tahunan.

Analisis bisnes dan industri Swift Haulage

Swift Haulage Berhad ialah penyedia perkhidmatan logistik bersepadu di Malaysia. Swift Haulage juga mempunyai operasi di Thailand yang menumpukan pada pengangkutan rentas sempadan. Namun begitu, lebih 90% pendapatan Swift Haulage dijana di dalam negara. Oleh itu, analisis ini akan lebih bertumpu kepada bisnes di dalam Malaysia.

Industri logistik

Industri logistik dibahagikan kepada pengangkutan, pergudangan dan penghantaran barang. Perniagaan Swift Haulage mengoperasikan ketiga-tiga sektor industri logistik ini. Selain itu, Swift Haulage juga menawarkan perkhidmatan logistik tambahan seperti mengambil dan menghantar barang, memenuhi pembelian atas talian dan menguruskannya, serta menjalankan kerja-kerja berkaitan pergudangan.

Menurut MIDA, aktiviti utama dalam perkhidmatan logistik bersepadu harus menyediakan 3 perkhidmatan utama iaitu pengangkutan, pergudangan dan penghantaran barang dengan sekurang-kurangnya satu tambahan aktiviti nilai tambah secara bersepadu. Swift Haulage juga ada menyediakan tiga perkhidmatan utama logistik dan perkhidmatan nilai tambah seperti logistik pengedaran dan perkhidmatan e-pemenuhan.

Gambar: Prospectus Swift Haulage

Kebergantungan terhadap pembekalan dan permintaan

Penyedia perkhidmatan logistik bergantung kepada aktiviti ekonomi di dalam negara dan juga global mengikut tahap permintaannya. Pada tahun 2020, ekonomi seluruh dunia terjejas teruk oleh pandemik COVID-19. Ekonomi di Malaysia juga turut terjejas akibat penutupan perniagaan dan sekatan ke atas pergerakan termasuk penutupan sempadan.

Sebagai contoh, industri pembuatan adalah salah satu pemacu perkembangan industri logistik atas keperluan pengangkutan yang berterusan. Pada tahun 2020, GDP industri pembuatan menurun sebanyak 2.5% kepada RM315.6 billion, iaitu 22.3% daripada nilai GDP Malaysia. Sekatan dalam operasi, gangguan rantaian bekalan dan keadaan permintaan yang berkurang telah menjejaskan aktiviti pengeluaran (Sumber: BNM).

Gambar: Prospectus Swift Haulage

Selain itu, aktiviti dagangan global yang merupakan antara penyumbang industri logistik turut terjejas. Ini adalah kesan daripada penurunan dalam eksport barangan perlombongan disebabkan terdapat kekurangan permintaan dari industri global dan juga kemerosotan harga global. Namun pada tahun 2021, nilai eksport kasar dijangka meningkat sebanyak 17.1% disebabkan oleh permintaan luar yang kukuh, terutamanya untuk produk E&E.

Prestasi sektor pengangkutan

Prestasi pengangkutan juga memainkan peranan dalam memacu industri logistik. Antara pengangkutan yang digunakan adalah pengangkutan kargo laut. Pada tahun 2020, kargo kontena mencatatkan penurunan sebanyak 5.7% dalam ukuran tan, iaitu sebanyak 65.9% daripada jumlah muatan kargo laut yang terdiri daripada kargo kontena dan bukan kontena.

Gambar: Prospectus Swift Haulage

Pada tahun 2020, pengangkutan kargo laut berdasarkan pengeluaran kontena merosot sebanyak 0.2% dan 2.4% untuk eksport dan import. Jumlah pergerakan kontena hanya terjejas sedikit oleh pandemik COVID-19 kerana kerajaan Malaysia telah menetapkan bahawa pelabuhan, perkapalan dan perkhidmatan pengangkutan darat sebagai perkhidmatan penting, dengan itu mengecualikan mereka daripada berhenti beroperasi.

Kadar pengangkutan laut juga turut bertambah. Ini didorong oleh peningkatan dalam permintaan penghantaran menggunakan kontena yang terhasil daripada banyak negara, terutamanya Amerika Syarikat.

Gambar: Prospectus Swift Haulage

Manakala, pengangkutan kargo udara pula mengalami penurunan sebanyak 16.3% akibat pemberhentian perkhidmatan penumpang secara tiba-tiba.

Persaingan

Industri logistik ini dipenuhi dengan sejumlah besar pengusaha. Terdapat sebanyak 1,500 pengusaha berdaftar dengan Persekutuan Malaysia Freight Forwarders (FMFF) dan 131 operator berdaftar dengan Persatuan Pengangkut Malaysia (AMH).

Di bawah ini adalah senarai pengendali perkhidmatan logistik di Malaysia termasuk syarikat Swift Haulage Berhad.

Gambar: Prospectus Swift Haulage

Perbincangan

Secara umumnya, industri logistik memainkan peranan penting dalam ekonomi, membolehkan semua bentuk perdagangan dan aktiviti pengedaran dijalankan. Namun begitu, industri ini bergantung kepada pembekal dan permintaan. Disebabkan ini, apabila berlakunya krisis seperti pandemik COVID-19, industri ini akan turut terjejas meskipun dikategorikan sebagai perkhidmatan penting.

Swift Haulage Berhad merupakan antara peneraju untuk sektor logistik. Meskipun pendapatan mereka terjejas pada tahun 2020 akibat COVID-19, namun sudah mula menunjukkan peningkatan bagi beberapa segmen perniagaan pada tahun 2021. Tambahan lagi, terdapat 9 cornerstone investors yang sudah pun tertarik untuk melabur ke dalam syarikat ini. (Sumber: The Edge)


< kembali ke laman blog utama