UMUM

19-NOV-2021

Syarikat Berkaitan Penjagaan dan Perhiasan Diri di Bursa Malaysia


AZ    


Apabila kita melangkah ke kompleks membeli-belah pastinya akan kelihatan beberapa kedai yang menjual barangan penjagaan dan perhiasan diri. Ia melibatkan pakaian, barangan kecantikan, cermin mata dan pelbagai lagi. Tidak kiralah sama ada golongan kaum hawa atau kaum adam penjagaan dan perhiasan diri sentiasa diutamakan agar kelihatan kemas serta menawan. Tanpa kita sedari barangan yang kita beli dari rangkaian kedai di kompleks membeli-belah ini, sebenarnya ada disenaraikan dalam pasaran saham Bursa Malaysia.

Penjagaan Kecantikan

Innature adalah sebuah syarikat yang terlibat dalam perniagaan kosmetik dan produk penjagaan diri yang memasarkan jenama The Body Shop dan Natura. Bukan setakat di pasarkan di negara Malaysia, malah ke beberapa buah negara di Asia Tenggara seperti Kemboja dan Vietnam. Produk ini boleh dimiliki melalui platform e-dagang seperti Hermo, Tiki, Lazada dan Shopee.

Dalam laporan kewangan (QR) baru-baru ini iaitu pada bulan Ogos yang lalu, syarikat Innature mencatatkan pendapatan sebanyak RM 27.91 juta dan keuntungan sebanyak RM 1.44 juta. Pendapatan ini sedikit menurun berbanding suku yang sama pada tahun 2020 (YoY) iaitu sebanyak RM 31.43 juta dan keuntungan RM 3.13 juta.

Kedai Bodyshop
Salah satu rangkaian perniagaan yang dimiliki oleh Innature. Gambar: Innature

Pakaian dan beg tangan

Padini

Sebut sahaja Padini, pasti ramai rakyat Malaysia pernah melihat atau memasuki kedai ini di kompleks membeli belah. Bukan itu sahaja, Padini juga memiliki rangkaian kedai pakaian Brands Outlet dan Vincci. Kedua-dua kedai ini kebiasaanya menjadi tumpuan orang ramai apabila jualan murah dilaksanakan.

Padini pada asalnya ditubuhkan tahun 1971 yang pada ketika itu menjalankan perniagaan berasaskan pakaian wanita. Setelah berkembang selama beberapa tahun, Padini mempunyai jenama pakaian sendiri seperti Padini , Seed, Padini Authentic, PDI, Miki, Vincci dan pelbagai lagi. Keseluruhannya, Padini mempunyai 140 cawangan kedai di Malaysia dan berkembang ke pasaran luar negara seperti Kemboja, Indonesia, Qatar, Bahrain, Brunei, Oman, Qatar, Thailand dan Emiriah Arab Bersatu.

Selain itu, terdapat juga beberapa syarikat berkaitan perniagaan pakaian yang didagang di Bursa Malaysia, seperti:

Jenama di bawah Padini
Gambar: Padini

Bonia

Bagi golongan kaum hawa beg tangan adalah salah satu aksesori wajib untuk dibawa kemana-mana terutamanya ketika menghadiri majlis yang penting. Tak lengkap rasanya kalau kita tidak menyebut jenama beg terkenal iaitu Bonia. Mungkin ada yang tidak tahu, Bonia merupakan jenama yang berasal dari Malaysia yang mengambil inspirasi dari Itali yang ditubuhkan pada tahun 1974.

Syarikat Bonia mempunyai hampir 1,200 cawangan jualan dan 185 butik di seluruh negara termasuklah Singapura, Malaysia, China, Jepun, Australia, Kuwait, Arab Saudi dan pelbagai lagi. Bonia bukan sahaja menyediakan barangan untuk kaum hawa, malah untuk kaum lelaki juga. Bonia mula disenaraikan dalam pasaran saham Bursa Malaysia sekitar tahun 1994.

Barangan Bonia
Gambar: Bonia

Barang Kemas

Kalau kita bincang mengenai barang kemas, hampir kesemua kaum hawa meminati dan memilikinya. Wanita dan barang perhiasan memang tidak dapat dipisahkan ibarat irama dan lagu. Kedai emas ini akan dipenuhi terutamanya ketika harga emas semasa menurun. Bukan setakat memiliki barang perhiasan, malah kedai emas ini juga menjual jongkong emas mengikut berat. Pembelian ini dikatakan sebagai aset pada hari tua. Namun, tahukah anda terdapat beberapa syarikat berkaitan emas yang didagangkan di Bursa Malaysia?

Poh Kong

Poh Kong mula menjalankan perniagaan barang kemas sekitar tahun 1976 yang pada ketika itu cawangan pertama mereka adalah di Petaling Jaya. Poh Kong mula mengorak langkah dalam industri barang kemas dengan menyenaraikan syarikat di Bursa Malaysia pada tahun 2004. Kini Poh Kong mempunyai kedai pembuatan barang kemas sendiri di Shah Alam dan memiliki hampir 100 cawangan di seluruh Malaysia.

Produk emas Poh Kong
Gambar: Poh Kong

Tomei (NS)

Tomei mula memasuki pasaran Bursa Malaysia sekitar tahun 2006. Ia menjalankan perniagaan berkaitan barang kemas yang memiliki hampir 48 rangkaian kedai di seluruh Malaysia. Namun, syarikat ini dikategorikan sebagai tidak patuh syariah (NS) dalam pasaran Bursa Malaysia.

Produk Emas Tomei
Antara produk barang kemas yang dikeluarkan oleh Tomei. Gambar: Tomei

Zhulian

Apabila kita sebut je Zhulian, pastinya kita akan mengingati katalog yang berwarna hijau yang dimiliki oleh golongan ibu kita pada masa dahulu. Namun syarikat Zhulian bukan sahaja menjual barang kemas, malah mereka juga menjalankan perniagaan pelbagai barangan. Antara produknya adalah barangan kelengkapan dapur, penapis air, serbuk pencuci, barangan penjagaan diri dan banyak lagi.

Syarikat ini disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 27 April 2007 dan ditubuhkan sekitar tahun 1989 oleh En Teoh Beng Seng. Zhulian semakin berkembang di Malaysia, Thailand, Indonesia dan Myanmar.

Syarikat Zhulian
Salah satu ibu pejabat syarikat Zhulian. Gambar: Zhulian

Mata

Mata merupakan salah satu organ badan yang paling penting yang perlu dijaga setiap masa supaya ia berfungsi dengan baik. Namun bagi masyarakat yang mempunyai masalah rabun penglihatan sama ada dekat atau jauh, perlulah memakai cermin mata atau kanta lekap. Kini terdapat pelbagai jenis cermin mata yang ditawarkan mengikut saiz dan design mengikut kesesuaian diri kita. Terdapat dua syarikat yang berkaitan perkhidmatan dan penjagaan mata didagangkan di pasaran saham.

Optimax

Optimax merupakan sebuah syarikat yang baru sahaja disenaraikan melalui IPO pada bulan Ogos 2020. Pada hari pertama penyenaraian di Bursa Malaysia, ia mencatatkan kenaikan hampir 100 peratus dan mencapai paras tertinggi pada harga RM 0.76. Ketika artikel ini ditulis, Optimax mencatatkan harga pada paras RM 1.29.

Cawangan Optimax di Penang
Gambar: holidayhealth

Umumnya, Optimax adalah syarikat yang menjalankan perniagaan berasaskan perkhidmatan penjagaan dan rawatan mata seperti cataract, glaucoma, dry eyes, dan lasik. Sejak ditubuhkan selama 26 tahun iaitu pada tahun 1995, Optimax mempunyai hampir 300,000 pesakit yang terdiri daripada pesakit tempatan dan antarabangsa seperti Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Australia, Jepun dan lain-lain negara.

Focus Point

Focus Point adalah satu-satunya syarikat yang melibatkan kedai rangkaian runcit optik yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Selain itu, ia juga diiktiraf dalam Malaysia Book of Record sebagai kedai rangkaian runcit optik terbesar di Malaysia dengan mempunyai 180 cawangan di seluruh negara. Focus Point menyediakan pelbagai jenama bingkai cermin mata mengikut cita rasa pelanggan mereka. Rangkaian kedai Focus Point dijenamakan seperti Focus Point, Focus Point Signature, Focus Point Concept Store, Whoosh, Opulence, Eyefont, dan Solariz.

Produk cermin mata Focus Point
Gambar: Focus Point

Kesimpulan

Dari segi ekonomi, apabila rakyat Malaysia berbelanja barangan dari pasaran tempatan, secara tidak langsung dapat meningkatkan kuasa beli pengguna dan juga ekonomi negara. Oleh itu, jadilah rakyat Malaysia yang bangga dengan barangan buatan Malaysia.

 


< kembali ke laman blog utama