Teladan Setia Group Berhad atau Teladan Setia adalah sebuah syarikat pemaju hartanah kediaman yang beroperasi di Melaka. Butiran IPO Teladan Setia ini adalah seperti di bawah:
- Harga IPO:
- RM 0.48
- Status syariah:
- Dinilai syariah oleh SAC
- Pasaran:
- ACE Market
- Market Capitalisation:
- RM 386.5 juta
- Nisbah PE:
- 8.9 (FYE 2019)
- Permohonan ditutup:
- 2 Mac 2021
- Cabutan saham:
- 5 Mac 2021
- Tarikh penyenaraian:
- 16 Mac 2021
Ini adalah IPO ketiga untuk disenaraikan di Bursa Malaysia tahun 2021.
Bisnes Teladan Setia
Teladan Setia menjalankan aktiviti pembangunan hartanah, di mana mereka memajukan dan menjual hartanah perumahan dan bangunan kedai. Setakat dalam laporan 2017 hingga 2020, kesemua projek mereka terletak di Melaka. Ia merupakan antara kelebihan syarikat ini kerana Melaka merupakan antara negeri yang mencatatkan kadar hartanah tak terjual yang rendah di Malaysia.
Mereka kini mempunyai 3 projek perumahan yang sedang berjalan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM632 juta. 3 lagi projek telah ditentukan dalam masa yang akan datang dengan GDV RM 995.2 juta. Mereka juga memiliki simpanan tanah sebanyak 69.7 ekar di Melaka dan 4.9 ekar lagi di Selangor, dan dalam proses menambah 145.2 ekar lagi di Selangor.
Kesan Covid-19 terhadap bisnes
Pandemik Covid-19 telah mengakibatkan kelewatan dalam pembinaan projek. Sebanyak 203 pekerja asing di bawah kontraktor pembinaan juga disaring positif Covid-19, juga mengakibatkan tapak projek Bali Residence ditutup seketika. Teladan Setia juga bersetuju untuk menanggung kos ujian, pengangkutan dan makanan untuk pekerja asing ini dengan nilai RM 150,000. Tiada kos tambahan lain yang dijangka , dan kes ini tidak memberikan kesan yang ketara terhadap operasi dan keputusan kewangan.
Dalam senario terburuk sekiranya PKP dilanjutkan, mereka meletakkan beberapa jangkaan seperti:
- tidak menjana pendapatan sepanjang penggantungan operasi
- tidak perlu membayar kepada kontraktor kerana penggantungan kerja
- sewa pejabat perlu dibayar secara bulanan
- operasi dan pentadbiran berlaku pada tahap yang minima
- mereka perlu dapatkan pembiayaan untuk komitmen tunai
- tiada dividen akan diumumkan
Prestasi kewangan
Teladan Setia menunjukkan penurunan prestasi pendapatan dan keuntungan sejak 2017 hingga laporan terbaru 2020. Namun, mereka masih dapat mencatatkan keuntungan buat tempoh kewangan dalam rekod. Margin keuntungan kasar adalah agak tinggi pada 33% hingga 36% sepanjang tempoh pemerhatian. Margin keuntungan bersih pula berada pada 17% hingga 19%.
CEO mengatakan bahawa penurunan pendapatan dan keuntungan boleh dikaitkan dengan format laporan kewangan. Dalam format MFRS terbaru, pendapatan untuk pembinaan hanya dapat dikenalpasti berdasarkan perkembangan semasa pembinaan projek. Oleh itu, kita dapat bayangkan beberapa lebih banyak projek yang telah siap dalam tahun pemerhatian. Tahun yang lebih terkini menunjukkan projek berjalan yang masih di peringkat awal.
Sekiranya kita lihat dari 2017 hingga terkini, kita juga dapat melihat penurunan kewangan pada kebanyakan syarikat hartanah perumahan. Oleh itu, penurunan pada prestasi kewangan Teladan Setia bukanlah suatu yang luar biasa. Pun begitu, tidak semua syarikat perumahan ini mampu kekalkan kedudukannya kewangannya dengan mencatatkan keuntungan. Teladan Setia adalah salah satu syarikat yang dapat mengekalkan keuntungan mereka dalam tempoh ini.
Strategi IPO dan masa depan
Dana IPO sebanyak RM 77.3 juta ini akan digunakan untuk tujuan tersebut:
Dana | Nilai (Juta) | Peratusan |
---|---|---|
Pembelian tanah pembangunan | 35.0 | 45.3 |
Modal kerja projek | 33.1 | 42.8 |
Bayaran hutang bank | 4.0 | 5.2 |
Perbelanjaan penyenaraian | 5.2 | 6.7 |
Jumlah | 77.3 | 100.0 |
Hampir separuh daripada dana IPO akan dibelanjakan untuk membeli tanah di Melaka. Ia berhampiran dengan tanah simpanan sedia ada dan tanah yang akan dibeli dalam perancangan akan datang. Sebahagian besar IPO sebanyak RM 33.1 juta pula akan digunakan untuk kos-kos pembinaan, contohnya kontraktor, khidmat rundingan dan bayaran professional, bayaran pihak berkuasa tempatan dan pemasaran.
Bayaran hutang bank dijangka dapat menjimatkan syarikat daripada kadar bunga sebanyak RM 300 ribu. Dengan pembayaran bank ini, syarikat akan berada pada gearing ratio lebih rendah pada pekali 0.368 selepas penggunaan dana IPO.
Analisis bisnes dan industri Teladan Setia
Tumpuan pasaran Teladan Setia adalah di Melaka, jadi makroekonomi Melaka menjadi satu rujukan penting untuk mengukur potensi syarikat ini.
Ekonomi Melaka secara luasnya bergantung kepada sektor perkhidmatan dan pembuatan dengan sumbangan GDP masing-masing sebanyak 48% dan 38%. Sektor perkhidmatan ini terdiri dari pelancongan, penginapan, pengangkutan dan food and beverage. Pertumbuhan dalam sektor-sektor ini akan memacu ekonomi Melaka, menarik lebih pekerjaan, seterusnya kawasan kediaman.
Prestasi pasaran perumahan
Dari tahun 2016 ke 2019, pasaran perumahan di Melaka meningkat dengan CAGR 3.88%. Dalam tempoh yang sama, nilai transaksi hartanah juga menunjukkan peningkatan iaitu dari RM 2.12 bilion kepada RM 2.76 bilion pada CAGR 9.19%.
Bilangan hartanah tak terjual atau overhang adalah berbeza untuk perumahan dan kedai. Perumahan yang tak terjual di Melaka menurun dari 2016 hingga 2019, dari 1181 unit ke 710. Overhang yang semakin rendah ini dikaitkan dengan inisiatif kerajaan melalui Home Ownership Campaign (HOC) dan pengecualian duti setem.
Pada suku ketiga 2020, Melaka merupakan antara negeri dengan bilangan perumahan tak terjual yang rendah di Malaysia pada bilangan 926 unit berbanding purata negara pada 3450 unit. Pun begitu, bilangan kedai tak terjual di Melaka adalah kedua tertinggi selepas Johor, pada 735 unit berbanding purata negara 419 unit.
Pesaing bisnes
Antara pesaing atau syarikat yang menjalankan bisnes yang sama dengan Teladan Setia telah disenaraikan dalam prospektus seperti di bawah.
Seperti yang boleh dilihat di atas, Teladan Setia merupakan antara pemain hartanah yang boleh mengekalkan keuntungan dan juga mempunyai margin keuntungan yang agak tinggi. Syarikat Teladan Setia boleh juga dibandingkan dengan syarikat tersenarai Gromutual Berhad yang ketika ini dinilai pada PE 9.7. Secara keseluruhan pula, penilaian purata PE untuk saham-saham dalam sektor hartanah ketika ini adalah pada 14.5.
Perbincangan
Skor iSaham: 4/4
IPO Teladan Setia mempunyai strategi yang agresif di mana sebahagian besar perbelanjaan dana IPO adalah untuk tujuan perkembangan bisnes. Penambahan dana IPO ini boleh diibaratkan dengan suntikan dana Private Placement di mana syarikat dapat menaikkan dana tanpa perlu membuat hutang baru dengan bank. Dengan ini, mereka berada pada kedudukan kewangan yang lebih baik, dan berupaya untuk dapatkan lebihan dana dari bank sekiranya perlu.
Strategi syarikat untuk menumpukan pembangunan pada kawasan di Melaka dilihat sebagai baik berdasarkan data bahawa hartanah perumahan tak terjual adalah rendah. Penambahan tanah di sekitar pembangunan sedia ada juga boleh dilihat sebagai aspek positif kerana ia boleh berikan kelebihan pada kejiranan dan persekitaran perumahan projek. Syarikat juga menunjukkan kadar jualan yang memberangsangkan untuk projek-projek yang telah dilancarkan sebelum ini.