Pernahkah anda mendengar bait-bait lagu “Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi” nyayian penyanyi kumpulan Alleycats? Lagu ini mengisahkan sebuah krisis cinta. Namun kali ini kita bukanlah nak bincang tentang krisis cinta, mahupun bunga mawar tetapi krisis bunga tulip. Tidak ramai menyangka bagaimana sejenis bunga yang harum dan indah ini mampu menjatuhkan krisis ekonomi sesebuah negara.
Krisis ini merupakan salah satu fenomena klasik gelembung ekonomi terawal yang pernah dikenalpasti. Ia berlaku sekitar era 1630-an dan dikenali sebagai The Tulip Mania. Bunga Tulip merupakan simbolik bagi negara Belanda dan membawa makna kasih sayang, semangat dan harapan untuk diberikan kepada golongan istimewa.
Apa Itu Tulip Mania
Pada asalnya bunga tulip berasal dari negara Turki dan diperkenalkan oleh Sultan Turki dari Empayar Uthamaniah dengan pemberian bijih benih kepada kerajaan Belanda di Viena pada tahun 1554. Kemudian bijih benih mula tersebar ke negeri lain seperti Augsburg, Antwerp dan Amsterdam. Bunga Tulip mula mendapat sambutan dan tarikan maka ramai yang mula menanam di hadapan laman sendiri.
Titik permulaan ini telah menyebabkan bunga tulip menjadi perdagangan utama sekitar tahun 1600 selepas keju, gin (sejenis beri), dan herrings (sejenis ikan laut). Harga pasaran bunga tulip terus meningkat disebabkan spekulasi dalam kalangan masyarakat yang tidak pernah melihat bunga tulip.
Minat Bertukar Kepada Taksub
Tulip dianggap sebagai simbol kemewahan dan bangsawan menyebabkan harga meningkat berlipat kali ganda sehingga masyarakat pada masa itu sanggup menjual aset dan harta untuk mendapatkan bunga tulip tersebut. Disebabkan negara Belanda merupakan negara 4 musim, bunga tulip hanya ditanam pada bulan September dan dituai pada bulan Jun.
Menjelang masa, sejenis kelopak bunga tulip luarbiasa telah ditemui disebabkan kemunculan virus “mosaic”. Virus ini tidak berjaya dihapuskan dan dimatikan. Ia telah menyebabkan kelopak bunga tulip mempunyai pelbagai ton warna. Penemuan ini dianggap luar biasa dan menambahkan kecantikan bunga ini di mata masyarakat Belanda. Harga bunga tulip jenis ini pula lebih bernilai berbanding harga bunga tulip biasa.
Harga Bunga Tulip Bersamaan Harga Sebuah Rumah
Pada masa itu masyarakat Belanda mempercayai bahawa harga bunga Tulip (bulb) kebal daripada kejatuhan dan akan terus meningkat. Pembeli mula berubah arah daripada memiliki bunga tersebut kepada menjalankan perniagaan untuk mendapatkan keuntungan segera berdasarkan spekulasi harga bukanya dibeli untuk ditanam di rumah.
Pada tahun 1636 bunga tulip yang berkualiti rendah juga dijual pada harga yang mahal sekitar 160 guilder sehingga 200 guilder. Betapa tingginya nilai bunga tulip sekuntum apabila dibandingkan bersamaan gaji 1 tahun gaji seorang rakyat biasa pada waktu itu.
Perubahan perdagangan juga berlaku apabila bunga tulip bukan lagi dijual secara bersemuka dan nyata tetapi menggunakan sistem “commodity futures contract”. Sampai ke satu tahap kontrak ini mampu berubah tangan ke pihak yang berlainan dengan mengenakan harga yang berbeza. Contohnya, Pihak A menjual kepada pihak B dengan harga RM 100, kemudian pihak B akan menjual kepada pihak C dengan harga yang lebih tinggi.
Selain diperdagangkan, bunga tulip ibarat nilai duit digunakan untuk membeli barangan lain. Apa yang menariknya ia digunakan untuk membeli rumah, tanah dan ladang. Disebabkan kenaikan harga yang menggila, harga bunga tulip tidak lagi menggambarkan nilai yang sebenar.
Akhirnya Menjunam Ke Bawah
Ketika di puncak permintaannya, harga bunga tulip meningkat tetapi penawaran stok tidak mencukupi. Berbalik kepada asas teori ekonomi permintaan dan penawaran, apabila penawaran tidak mampu memenuhi permintaan, ia menyebabkan harga untuk melonjak naik. Harga meroket sehingga 20 kali ganda dalam masa sebulan. Tetapi perkara ini tidak bertahan lama apabila pelabur dalam pasaran mula menjualnya sehingga menyebabkan harga bunga tulip jatuh dalam masa sebulan bersamaan harga bawang merah.
Perubahan ini berlaku apabila penawaran lebih banyak berbanding permintaan. Ini mewujudkan situasi panik menjual, seterusnya ramai yang sanggup menjual demi mengurangkan kos dan kerugian yang dihadapi. Walaupun mendapat kerjasama campur tangan daripada kerajaan Belanda, namun untuk menstabilkan semula harga menemui jalan buntu.
Kesimpulannya sebagai seorang pelabur perlulah mempunyai perancangan terhadap sesuatu pelaburan yang hendak dijalankan. Bak kata pepatah, "ukur lah baju di badan sendiri". Setiap pelaburan perlulah berdasarkan kemampuan aset yang mencukupi tanpa bergolok bergadai dengan menjual harta dan membuat pinjaman.