UMUM

29-MAY-2020

Tropicana - Suntikan Aset Tanah dan Penapakan di Langkawi


FN    


Tropicana adalah sebuah syarikat pemaju hartanah yang menumpukan jualan hartanah pada golongan berpendapatan pertengahan dan ke atas. Syarikat ini telah pun bermula pada tahun 1979 dan merupakan antara pemaju yang berkembang pesat di Malaysia.

Antara kawasan mercu yang dimajukan Tropicana ialah The Residences, Tropicana Aman dan Tropicana Metropark. Kebanyakan kawasan yang dibangunkan Tropicana berada di Lembah Klang di kawasan penduduk berpendapatan sederhana dan tinggi. Antaranya ialah di Subang Jaya, Petaling Jaya, Kajang dan juga Kuala Lumpur. Di Selatan, mereka membangunkan kawasan Johor Bahru dan di Utara, kawasan di Pulau Pinang.

tropicana danga bay

Selain jualan rumah, mereka juga menjana pendapatan dengan pelaburan hartanah. Antara hartanah ini adalah sekolah antarabangsa yang berprestij iaitu St. Joseph's Institution, GEMS dan Tenby International School. Selain itu, Tropicana Gardens Mall dijangka akan menjadi sebuah kawasan tumpuan di Kota Damansara bila ia dilancarkan nanti.

Prestasi kewangan

Kedudukan kewangan untuk Tropicana secara umumnya adalah kukuh. Syarikat mencatatkan pendapatan dan keuntungan yang sihat buat jangka masa lebih dari 5 tahun. Setakat laporan tahunan terkini 2018, pendapatan dicatatkan pada RM 1.64 bilion dengan keuntungan sebanyak RM 170.0 juta. Laporan 2019 yang belum diaudit pula menunjukkan keuntungan yang lebih tinggi iaitu RM 335.8 juta. Margin keuntungan pula dicatat sekitar 20 - 25% iaitu sebuah paras yang sihat.

tropicana financial performance 2019

Pelancaran terbaru Tropicana Gardens Mall

Tropicana Gardens Mall (TGM) merupakan antara tambahan terbaru dalam pelaburan hartanah bagi syarikat Tropicana. TGM ini merupakan sebuah kompleks bangunan yang meliputi serviced residence, pejabat, SOFO dan juga kompleks membeli belah. Ia juga dilengkapi dengan akses laluan kereta api MRT. Kedudukan TGM di Kota Damansara ini berpotensi menjadi tumpuan 'leisure', tempat makan dan gaya hidup penduduk di sekitar kawasan ini.

tropicana gardens mall

Pelaburan terbaru penambahan tanah

Pada suku keempat 2018, Tropicana telah mengambil alih majoriti syarikat kepunyaan Tan Sri Danny Tan yang juga memiliki sebahagian besar saham Tropicana. Pengambil alihan ini bernilai RM 1.94 bilion yang dibayar dalam bentuk pegangan saham, tunai dan hutang. Dengan pengambil alihan ini, Tropicana memegang hak pembinaan ke atas tanah-tanah milikan syarikat dan menambahkan Nilai Pembangunan Kasar atau Gross Development Value (GDV) sebanyak RM 20.5 bilion.

tropicana land acquisition

Setakat 31 Disember 2019, potensi pembangunan Tropicana telah meningkat dengan simpanan tanah sebanyak 1792 ekar dan potensi GDV sebanyak RM 61.3 bilion.

Projek usahasama Langkawi dan Pekan Nenas

Selain itu, beberapa projek usahasama juga telah dirancang di Langkawi, Kedah dan Pekan Nenas, Johor. Tropicana belum pernah memasuki pasaran Langkawi, dan ini merupakan satu permulaan untuk menapak di sana. Pekan Nenas pula dilihat berpotensi untuk dijadikan pembinaan hub industri.

tropicana langkawi collaboration

Tanah usahasama di Langkawi ini adalah tapak yang sesuai sebagai pusat peranginan. Namun, perancangan tanah sama ada untuk pembinaan hotel, villa, apartmen atau bangunan runcit belum diputuskan. Rancangan pembangunan tanah ini dijangka akan berjalan untuk jangka masa 15 tahun.

tropicana pekan nenas collaboration

Kunci kepentingan Pekan Nenas ni dilihat dari kedudukan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) sebagai pelabuhan penting laluan maritim antarabangsa. Pekan Nenas terletak berdekatan dengan PTP dan perancangan usahasama ini adalah untuk menjadikan tanah perusahaan ini sebagai hub industri dan logistik.

Secara keseluruhannya, tanah untuk projek usahasama ini merangkumi 1235.9 ekar. Dua tanah usahasama di Langkawi berjumlah 47.1 ekar mempunyai anggaran GDV sebanyak RM 3.32 bilion manakala dua tanah di Pekan Nenas pula berjumlah 1188.8 ekar dengan anggaran GDV sebanyak RM 1.45 bilion. Ini menjadikan jumlah anggaran projek usahasama di dua kawasan ini bernilai sehingga RM 4.78 bilion.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, Tropicana telah membuat pelbagai tindakan yang memberikan mereka kelebihan di masa yang akan datang. Kita dapat lihat terutamanya dari segi pegangan tanah yang semakin banyak dan potensi pembangunan yang boleh dijalankan. Simpanan tanah sebanyak ini mampu memberi pulangan kepada syarikat untuk 10 hingga 15 tahun.


< kembali ke laman blog utama