IPO

3-MAY-2021

Tuju Setia - Dana IPO untuk Pembelian Mesin dan Peralatan


FN    


tuju setia builder of choice

Tuju Setia Berhad merupakan sebuah syarikat pemaju hartanah kediaman dan bukan kediaman. Kebanyakan projek mereka bertempat di kawasan Lembah Klang. Butiran IPO Tuju Setia ini adalah seperti di bawah:

Harga IPO:
RM 0.70
Status syariah:
Dinilai syariah oleh SAC
Pasaran:
Main Market
Market Capitalisation:
RM 221.8 juta
Nisbah PE:
13.65 (FYE 2020)
Permohonan ditutup:
5 Mei 2021
Cabutan saham:
7 Mei 2021
Tarikh penyenaraian:
19 Mei 2021

Ini adalah IPO pertama yang akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia tahun ini.

Bisnes Tuju Setia

Tuju Setia menjalankan aktiviti pembinaan bangunan kediaman dan bukan kediaman. Dari tahun 2017 hingga 2019, sebahagian besar pendapatan mereka datangnya dari pembinaan bukan kediaman. Dalam laporan terbaru pula, saiz segmen ini adalah sama dengan pembinaan kediaman, sekitar 40% daripada keseluruhan pendapatan. Baki 20% pula disumbangkan oleh kerja rekabentuk dan pembinaan hospital. Pasaran geografi utama mereka adalah di KL dan Selangor.

Sebahagian besar kerja yang mereka jalankan adalah pembinaan bangunan binaan tinggi dengan sumbangan melebihi 80% daripada jumlah pendapatan 2017 hingga 2020. Mereka mereka merupakan kontraktor gred G7 yang berdaftar dengan CIDB, dan B29 untuk kerja pembinaan hospital.

Untuk memahami gred CIDB ini, gred G7 adalah gred teratas yang membolehkan kontraktor membida tender tanpa had nilai projek. B29 adalah pengkhususan kerja untuk pembinaan kerja bangunan kesihatan. Dengan komitmen pendaftaran B29 ini, mungkin kita boleh lihat pelbagai lagi kerja pembinaan hospital dalam masa akan datang untuk Tuju Setia.

hospital kajang kompleks wanita dan kanak-kanak
Hospital Kajang Kompleks Wanita dan Kanak-kanak. Gambar: Tuju Setia

Kesan Covid-19 terhadap bisnes

Menurut prospektus, Tuju Setia menyatakan tidak menerima impak dari Covid-19 terhadap perniagaan dan operasi mereka. Apa yang disebut dalam prospektus hanyalah kelewatan dibayar untuk kerja-kerja pembinaan yang berjalan akibat dari aktiviti yang perlahan di kala PKP dan PKPB.

Prestasi kewangan

Tuju Setia menunjukkan pendapatan dan keuntungan yang menaik sejak 2017 hingga 2019. Seperti yang kita tahu, 2020 adalah tahun pandemik, maka kita dapat lihat keputusan kewangan yang terjejas untuk tahun terbaru ini. Namun, tanpa melihat kesan pandemik pun kita dapat lihat margin keuntungan selepas cukai yang agak rendah, dari 2.5% hingga 6.36% pada paras tertinggi. Satu perkara yang bagus ialah margin ini meningkat setiap tahun.

prestasi kewangan tuju setia

Pendapatan syarikat pembinaan adalah bergantung kepada tahap penyempurnaan projek. Untuk Tuju Setia, lebih banyak kerja-kerja pembinaan yang telah disiapkan pada 2019 berbanding 2018. Pendapatan pada 2020 menurun kerana beberapa projek bukan kediaman telah disiapkan dan industri menghadapi kelembapan. 3 Projek kediaman telah disiapkan sejak September 2019 hingga Oktober 2020, maka pendapatan yang dicatatkan adalah untuk baki kerja yang disiapkan.

Bagi keseluruhan laporan kewangan, segmen bukan kediaman mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi berbanding segmen kediaman. Pada 2019, segmen bukan kediaman menyumbangkan 66.14% dari keseluruhan pendapatan dengan jumlah RM 278.86 juta berbanding RM 119.90 juta (28.44%) untuk kediaman. Untuk 2020 pula, segmen kediaman dan bukan kediaman mengecil ke pecahan yang hampir sama, sekitar RM 102 juta dan 103 juta. Pendapatan selebihnya disumbangkan oleh pembinaan hospital (20%) pada RM 49.90 juta yang juga mempunyai margin keuntungan yang lebih baik.

Untuk margin keuntungan kasar, satu-satunya projek dalam segmen reka dan bina iaitu projek pembinaan hospital mencatatkan margin yang tertinggi iaitu 8 - 18%. Ia diikuti dengan segmen bukan kediaman sebanyak 6-9% dan kediaman dengan margin keuntungan 1-8%.

Strategi IPO dan masa depan

Melalui IPO ini, Tuju Setia akan mengumpul dana sebanyak RM 56 juta. Dana ini akan digunakan untuk tujuan tersebut:

Dana Nilai (Juta) Peratusan (%)
Perbelanjaan Modal    
- Pembelian mesin, peralatan dan perisian BIM 24.0 42.86
- Pembelian tanah dan pembinaan fasiliti stor 8.0 14.28
Modal kerja 19.0 33.93
Perbelanjaan penyenaraian 5.0 8.93
Jumlah 56.0 100.0

Daripada jumlah RM 56 juta dana IPO, RM 32 juta iaitu 57% akan digunakan untuk perbelanjaan modal yang terbahagi kepada pembelian kelengkapan perniagaan dan pembelian tanah.

Menjangkakan syarikat semakin berkembang, Tuju Setia merancang untuk beli mesin pembinaan seperti sistem pembentukan aluminium, kren menara, scaffolding, self-climbing platform dan on-site concrete batching plant. Mereka juga merancang untuk beli perisian BIM system. Kesemua barangan ini akan diperuntukkan dana sebanyak RM 24 juta.

RM 8 juta diperuntukkan untuk pembelian tanah untuk penyimpanan mesin pembinaan. RM 6 juta akan digunakan untuk pembelian tanah itu sendiri, manakala baki RM 2 juta adalah untuk kerja pembinaan. Untuk modal kerja, peruntukan yang berkaitan adalah untuk bayaran bahan binaan dan perkhidmatan subkontraktor yang merupakan kos terbesar untuk jualan (84-88% dari jualan).

Analisis bisnes dan industri Tuju Setia

Untuk memahami prospek untuk Tuju Setia, kita boleh lihat pada industri pembinaan dan hartanah. Memandangkan kebanyakan projek Tuju Setia bertumpukan pada kawasan KL dan Selangor, kita akan berikan lebih tumpuan terhadap geografi ini. Kita juga akan berikan lebih tumpuan terhadap pembinaan dalam kategori pembinaan bangunan, mengetepikan kategori lain seperti kejuruteraan awam dan pembinaan khas.

Prestasi industri pembinaan

GDP sebenar industri pembinaan untuk tahun 2020 telah mencatatkan penurunan sebanyak 19.4%. Pada Q2 2020 pula, kerja-kerja pembinaan bangunan bukan kediaman dan kediaman masing-masing telah menurun sebanyak 23.9% dan 22.9%. Namun, ekonomi Malaysia dijangka kembali pulih dengan pertumbuhan GDP sebanyak 6.5% hingga 7.5% menjelang 2021. Industri pembinaan pula dijangka akan berkembang sebanyak 13.9% pada 2021.

Malaysia secara keseluruhannya mencatatkan kenaikan nilai kerja pembinaan dari 2015 hingga 2019, dan mengalami kejatuhan pada 2020. Namun, ia masih menunjukkan perkembangan berbanding 2015. Trend yang sama dapat diperhatikan untuk geografi KL dan Selangor.

Nilai kerja pembinaan CAGR (2016-2020)
Malaysia -1.8%
Wilayah Persekutuan 2.9%
Selangor 2.9%

Tuju Setia juga terlibat dalam pembinaan hospital kerajaan. Dalam Belanjawan 2021, kerajaan telah mengumumkan peruntukan RM 366 juta untuk pembinaan hospital baru.

Prestasi industri hartanah

Secara umumnya, nilai dan jumlah transaksi berkurang dari tahun ke tahun bagi jenis hartanah kediaman dan komersial.

Transaksi hartanah di KL dan Selangor
Kawasan Jenis Hartanah CAGR (2016-2020)
Selangor Kediaman -2.6%
Selangor Komersial -3.9%
Kuala Lumpur Kediaman -1.5%
Kuala Lumpur Komersial -0.9%

Bekalan akan datang

Secara ringkas, bekalan bangunan kediaman di Selangor sahaja yang mencatatkan penurunan dari tahun ke tahun. Untuk bangunan komersial pula, bekalan masih meningkat dari tahun ke tahun di Selangor. Di Kuala Lumpur pula, bekalan bangunan kediaman dan komersial meningkat dari tahun 2015 hingga 2020.

Bekalan bangunan masa hadapan
Kawasan Jenis Hartanah CAGR (2016-2020)
Selangor Kediaman -2.3
Selangor Komersial 6.8%
Kuala Lumpur Kediaman 9.2%
Kuala Lumpur Komersial 10.4%

Persaingan

Kontraktor Gred 7 merupakan satu gred tertinggi untuk kontraktor yang berdaftar dengan CIDB. Namun, bilangan syarikat berdaftar G7 ini bukanlah sedikit. Berdasarkan laporan Vital Factor, sebanyak 2446 dan 2311 syarikat G7 masing-masing yang berdaftar di Kuala Lumpur dan Selangor. Persaingan untuk kerja pembinaan hospital (B29) adalah lebih sedikit dengan jumlah 911 kontraktor, di mana 563 buah syarikat adalah Gred 7.

Di bawah ini adalah syarikat yang tersenarai awam dalam industri yang sama dengan Tuju Setia.

Syarikat Market Cap (RM Juta) GP Margin Nisbah PE
KERJAYA 1,662 16.6 18.3
GDB 546 11.6 21.3
NADIBHD 244 7.8 19.5
Tuju Setia 222 9.1 13.7
TCS 185 17.2 11.4
INTA 165 9.5 20.4

Tuju Setia adalah syarikat yang agak kecil dalam industri pembinaan dengan permodalan pasaran bersaiz RM 221.8 juta. Berdasarkan laporan kewangan 2020, syarikat dinilai pada nisbah PE 13.7, lebih rendah dari 21.5 untuk nisbah PE median sektor pembinaan. Secara teori, dana ini membolehkan ruang pertumbuhan yang lebih baik dalam masa akan datang, tertakluk kepada keberkesanan penggunaan dana dan pengurusan.

Perbincangan

Skor iSaham: 3/4

Tuju Setia menunjukkan prestasi kewangan yang baik sebelum dunia dilanda wabak Covid-19. Namun, syarikat menunjukkan margin keuntungan yang rendah. Kita dapat lihat syarikat cuba untuk meningkatkan margin ini dengan mempelbagaikan kerja dalam bidang reka dan bina hospital. Pun begitu, saiz pasaran untuk segmen ini adalah kecil terutamanya jika melihat penglibatan syarikat setakat ini dalam sektor awam.

Melalui IPO ini, sebahagian dana akan digunakan untuk membeli mesin dan peralatan untuk kerja pembinaan. Pembelian ini dirancang untuk menampung perkembangan yang dijangka untuk masa hadapan, dan juga untuk mengurangkan kos buruh dan percepatkan kerja pembinaan. Aspek ini menunjukkan tanda yang positif. Pun begitu, syarikat perlu membuktikan keberkesanan perancangan mereka apabila tersenarai nanti.


< kembali ke laman blog utama