MACD merupakan singkatan kepada nama Moving Average Convergence Divergence. Ia digunakan untuk menentukan pergerakan serta momentum harga dan melalui trend short term. Indikator ini antara salah satu analisis teknikal cukup popular dalam dunia pelaburan. MACD banyak digunapakai oleh para pelabur di dunia sebagai penunjuk pergerakan sesuatu saham.
Pengasas Analisis MACD
Indikator MACD mula diperkenalkan oleh Gerald Appel pada tahun 1979. Tahun demi tahun indikator ini mula digunapakai secara meluas oleh para pelabur. Beliau juga menghasilkan 17 buku pelaburan, antaranya"Investment Book of the Year", "Technical Analysis: Power Tools for Active Investor" dan lain-lain. Sepanjang penglibatan dalam dunia pelaburan, beliau telah menubuhkan dan menguruskan wang pelanggan selama 35 tahun sebelum bersara pada tahun 2012. Beliau merupakan CEO kepada Appel Asset Management dan pemilik Signalert Asset Management.
Kaedah penggunaan MACD
Formula
Indikator MACD terhasil daripada perbezaan antara EMA iaitu Exponential Moving Average 12 dan EMA 26 hari. EMA merupakan salah satu jenis indikator moving average yang menggunakan paras harga terbaru bertujuan menghasilkan purata pergerakan harga.
Jika dilihat indikator MACD terhasil dengan melibatkan tiga faktor utama seperti:
- Garisan MACD - garisan berwarna biru perbezaan antara EMA 12 dan EMA 26
- Garisan Signal - garisan berwarna merah yang terhasil melalui EMA 9 hari garisan MACD.
- Histogram - ia menunjukkan perbezaan antara garisan MACD dan garisan Signal
Penentuan Oscillator
Penilaian oscillator merupakan kaedah analisis teknikal yang digunapakai untuk mengenalpasti saham yang overbought dan oversold. Overbought bermaksud situasi di mana sesebuah saham mengalami pembelian secara berterusan dalam jangka masa pendek pada harga saham melebihi nilai sebenar.
Oversold pula adalah penjualan sesebuah saham secara berterusan sehingga menyebabkan kejatuhan harga saham melebihi nilai sebenar. Apabila ia mengalaminya fasa pembetulan, saham ini dijangka akan kembali kepada nilai sebenar.
Garisan MACD bersilang
Apabila garisan signal dan garisan MACD bersilang, ia memberi petunjuk kepada pelabur sama ada perlu menjual atau membeli saham tersebut. Berdasarkan gambar rajah di bawah, kita dapat melihat 2 simbol bulatan berwarna merah dan hitam.
Bulatan merah menunjukkan persilangan garisan MACD berwarna biru bersilang ke bawah dengan garisan signal. Persilangan ini menunjukkan momentum penjualan dan penurunan harga.
Sebaliknya apabila garisan MACD berlakunya pergerakan ke atas, ia menunjukkan isyarat terdapat momentum peningkatan dan pembelian saham sesebuah syarikat. Peningkatan ini dapat dilihat melalui bulatan hitam di gambar rajah.
Pengenalpastian Trend
MACD divergence merupakan satu kaedah yang berlaku apabila pergerakan tinggi dan rendah harga saham, tidak sama atau selari dengan tinggi dan rendah pergerakan garisan MACD. Terdapat dua jenis divergence iaitu bullish dan bearish. Divergence ini juga digunakan untuk menentukan pergerakan saham sama ada "up trend" ataupun "down trend".
Bullish Divergence
Bullish divergence merupakan satu situasi apabila harga saham sesebuah syarikat berada di lower low berbanding paras rendah sebelumnya. Apabila bullish dikesan, MACD pula menunjukkan oscillator berada di higher low berbanding paras terendah sebelumnya. Higher low di garisan MACD memberikan jangkaan bahawa akan berlakunya momentum pergerakan harga dan perubahan trend (uptrend).
Bearish Divergence
Bearish divergence pula merupakan satu situasi apabila harga saham berada di higher high berbanding paras tinggi sebelumnya. Apabila bearish dikesan, MACD pula menunjukkan oscillator berada di lower high berbanding paras tertinggi sebelumnya. Paras terendah di garisan MACD memberikan jangkaan bahawa akan berlakunya pergerakan penurunan harga dan perubahan trend (down trend).
Kesimpulan
Kesimpulannya, dalam dunia pelaburan saham kita terdedah dengan pelbagai risiko. Walaupun teknik MACD banyak digunapakai oleh para pelabur disebabkan strategi untuk menganalisis pergerakan saham. Namun,sebagai seorang pelabur yang bijak perlulah mengambil langkah berjaga-jaga serta mempunyai pelan tindakan seperti cut loss dan lain-lain sekiranya teknik ni tidak menjadi. Setiap teknik dan analisis yang dijalankan hanyalah sebagai bantuan dan strategi sebelum memulakan sesuatu pelaburan.